Projek atasi hakisan di Pantai Puteri siap menjelang 2027

Projek atasi hakisan di Pantai Puteri siap menjelang 2027

am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri memberi jaminan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Puteri, di sini akan berakhir menjelang 2027.

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata ia berikutan projek yang membabitkan perbelanjaan lebih RM20 juta itu sudah mula dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, pelaksanaan projek yang dibangunkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) meliputi kerja membina benteng penahan ombak dan tambakan pasir yang dijangka dapat mengatasi masalah hakisan pantai di kawasan peranginan berkenaan.

“Pantai Puteri yang menjadi antara pantai pelancongan popular di Melaka berdepan masalah hakisan yang teruk menyebabkan kawasan itu kurang dikunjungi kerana pengunjung bimbang dengan keselamatan mereka.

“Justeru, menerusi kelulusan sejumlah peruntukan daripada PETRA, saya yakin masalah itu akan dapat diatasi sekali gus mengikis kebimbangan pengunjung untuk beriadah bersama keluarga di situ.

“Saya mewakili kerajaan negeri berterima kasih kepada PETRA kerana cakna terhadap masalah ini dan membantu untuk meluluskan projek ini. Buat masa ini, pihak JPS akan memberi tumpuan kepada pembinaan tembok penahan ombak dan pada masa sama ia juga membabitkan penambakan bagi memastikan struktur pantai ini lebih kuat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri, Datuk Sri Ab Rauf Yusoh peringkat Parlimen Tangga Batu di Masjid Tun Mohd Khalil Yaakub, Tanjung Minyak, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata selain isu hakisan, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga dalam perancangan untuk menyusun semula penempatan peniaga di Pantai Puteri bagi memastikan pantai peranginan itu lebih teratur.

Katanya, lambakan peniaga di kawasan terbabit mengundang beberapa permasalahan, antaranya tidak mempunyai permit atau lesen selain ada yang mengabaikan aspek keselamatan kepada pengunjung dengan berniaga di kawasan yang berlaku hakisan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top