nurul.hidayah@hmetro.com.my
Ampang Jaya: Kerja-kerja penyelenggaraan dan membesarkan longkang sedang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Taman Muda Fasa 1 di sini bagi mengatasi masalah banjir kilat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Yew Jia Haur berkata, pihaknya mengambil maklum permasalahan banjir kilat di kawasan perumahan itu yang dialami sejak kira-kira 30 tahun lalu.
“Saya mula terima aduan berhubung isu banjir di kawasan itu sejak menjadi Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 22 pada 2022 dengan lebih 10 aduan diterima setiap tahun.
“Justeru itu, saya bersama beberapa wakil daripada Bahagian Kejuruteraan MPAJ membuat lawatan di lokasi terbabit pada Jun tahun lalu.
“Berdasarkan pemerhatian dilakukan, kami mendapati punca utama banjir kilat berlaku di situ adalah kerana struktur longkang lama yang kecil dan rosak, selain semakin banyak tanah mendap,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Adun Teratai, di sini.
Beliau mengulas keluhan penduduk Taman Muda Fasa 1 yang berhadapan banjir kilat kira-kira 30 tahun, hingga bimbang apabila setiap kali hujan lebat melanda kawasan itu.
Yew berkata, beberapa kerja naik taraf sudah dilakukan membabitkan pembesaran longkang dan baik pulih longkang yang rosak.
“Setakat ini, kerja naik taraf itu memperlihatkan kesan positif dalam mengatasi masalah banjir kilat dan kami menjangkakan keseluruhan kerja-kerja naik taraf berkenaan akan selesai pada bulan ini,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak MPAJ yang memberikan kerjasama dan prihatin untuk menyelesaikan permasalahan penduduk di Taman Muda Fasa 1.
“Taman Muda adalah antara kawasan tumpuan di Dun Teratai, memandangkan demografiknya antara 120,000 hingga 150,000 penduduk.
“Selain Taman Muda Fasa 1, kami juga sedang menjalankan kerja baik pulih berkaitan isu banjir kilat di Taman Putra dengan kedua-dua projek berkenaan menelan kos RM1.5 juta.
“Pada masa sama, kerja baik pulih berkaitan banjir kilat sedang dijalankan di Jalan Teratai, membabitkan kos RM800,000. Diharap kerja baik pulih ini dapat mengatasi masalah banjir kilat yang membebani penduduk,” katanya.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd




