Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian ditangguh susulan tanah runtuh

Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian ditangguh susulan tanah runtuh

am@hmetro.com.my

Kangar: Kerajaan Negeri Perlis menangguhkan pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian yang dijadualkan bermula 12 Disember ini sehingga 31 Mac tahun hadapan, susulan insiden tanah runtuh di sepanjang laluan utama menuju ke sempadan Malaysia-Thailand itu.

Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian bersama jabatan teknikal dan agensi penguatkuasaan pada 1 Disember lalu yang sebulat suara mencadangkan penangguhan berkenaan.

Kerajaan Negeri Perlis dalam kenyataan menjelaskan bahawa terdapat kejadian tanah runtuh di 11 lokasi antara laluan Wang Kelian dan Wang Prachan yang berlaku ketika banjir minggu lalu menyebabkan laluan itu dinilai tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis.

“JKR menasihatkan laluan berkenaan ditutup sementara kecuali kepada kenderaan ringan sahaja dan kerja pembaikan kini sedang dijalankan dan dijangka mengambil tempoh antara enam hingga 12 bulan untuk disiapkan.

“Justeru itu, kerajaan negeri menyokong penuh penangguhan projek rintis itu sehingga tarikh baharu ditetapkan selepas laluan disahkan selamat dibuka kepada orang awam,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mengarahkan Pos Imigresen Wang Kelian ditutup pada 23 November lalu sehingga keselamatan laluan disahkan.

Orang ramai pula dinasihatkan menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar sebagai laluan alternatif ke Thailand.

Dalam perkembangan sama juga, dalam memastikan penduduk Kampung Wang Kelian tidak terputus bekalan asas, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan mewujudkan satu ‘laluan aliran bebas khas’ antara kampung itu dan Wang Prachan.

“Namun begitu, cadangan itu masih di peringkat perbincangan awal dan kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mangsa banjir di Perlis.

“Setakat ini, seramai 7,587 mangsa daripada 2,267 keluarga ditempatkan di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sepanjang bencana.

Sehingga jam 12 tengah hari hari ini, hanya empat PPS masih beroperasi, menempatkan 309 mangsa daripada 112 keluarga,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri bersama NADMA dan agensi berkaitan kini sedang menjalankan penilaian kerosakan serta kerja pembersihan pasca banjir.

End

From: Aizat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top