Proton e.MAS 5 perkenal warna Jade Green baharu

Proton e.MAS 5 perkenal warna Jade Green baharu

PETALING JAYA: Pro-Net, anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad melakar dua pencapaian penting pada Pertunjukan Auto Pulau Pinang 2026 menerusi penampilan sulung warna Jade Green bagi model Proton e.MAS 5 serta pengenalan platform Seni Bina Modular Global (GMA).

Sebagai model kenderaan elektrik (EV) No. 1 di Malaysia dengan lebih 8,000 unit telah dihantar setakat tahun ini, Proton e.MAS 5 menjadi tumpuan utama pengunjung di samping model Proton e.MAS 7 PHEV yang tampil dengan warna Emerald Green.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, sebagai jenama EV utama negara, pihaknya komited untuk memacu penggunaan EV yang lebih meluas dengan menjadikan teknologi tersebut lebih mudah diakses dan difahami oleh masyarakat.

“Warna baharu Jade Green pada Proton e.MAS 5 memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan, manakala pengenalan platform GMA di wilayah Utara membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia merasai sendiri teknologi EV secara dekat.

“Langkah ini bertujuan memberi gambaran jelas mengenai perbezaan teknologi EV berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional menerusi kefahaman ekosistem yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zhang Qiang, platform GMA yang pertama kali dipamerkan di wilayah Utara itu menyerlahkan teknologi canggih yang menjadi asas kepada barisan EV dan PHEV Pro-Net yang mementingkan aspek fleksibiliti, keselamatan serta prestasi.

Katanya, momentum EV di wilayah Utara terus mengukuh dengan Proton e.MAS menguasai 64.2 peratus pegangan pasaran setakat Mac 2026, hasil daripada kesediaan infrastruktur serta peningkatan keyakinan pengguna terhadap mobiliti elektrik.

“Pertumbuhan ini turut didorong oleh faktor geografi di wilayah Utara yang mempunyai peratusan hartanah kediaman bertanah yang tinggi, sekali gus memudahkan pemasangan pengecasan di rumah.

“Pada masa sama, peluasan rangkaian pengecasan awam secara berterusan meningkatkan aksesibiliti keseluruhan dan menyokong penggunaan EV yang lebih meluas untuk perjalanan jauh,” katanya.

Platform GMA yang dipamerkan itu menampilkan Motor Bersepadu Tinggi serta binaan keluli berkekuatan tinggi, sekali gus memperkukuh komitmen Pro-Net dalam menawarkan ekosistem kenderaan masa hadapan yang lebih inovatif di Malaysia. – UTUSAN

Scroll to Top