puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Syamel, mengakui mempunyai perasaan ragu-ragu dan ‘overthinking’ (terlalu berfikir) apabila ada segelintir netizen mendakwa nada suaranya tidak sesuai dengan naskhah terbaharunya berjudul Pertama.
Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 33, berkata, perasaan itu muncul selepas dia berkongsi ‘teaser’ lagu berkenaan di Threads, baru-baru ini.
“Mula-mula itu memang timbul rasa ‘overthinking’. Saya sudah cakap pada diri sendiri, jangan buat lagu seperti ini, tetapi saya tetap mahu buat juga,” katanya.
Bagaimanapun, suami kepada penyanyi Ernie Zakri ini memilih untuk bersikap realistik dan memahami bahawa setiap karya seni tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak.
“Saya faham tiada perkara yang sempurna. Apabila kita sendiri rasa puas hati dan yakin bahawa inilah identiti lagu saya, itu sudah memadai.
“Memang akan ada orang yang tidak suka 100 peratus. Jadi, akhirnya saya pilih untuk fokus kepada apa yang peminat suka dan apa yang saya sendiri mahu lihat dalam koleksi lagu-lagu saya,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut mengenai eksperimen genre pop dan ‘groovy’ dalam lagu Pertama ini, Syamel mendedahkan dia mempunyai perancangan besar untuk mengadakan konsert solo pada masa akan datang.
Menurutnya, kepelbagaian genre dalam diskografinya adalah sangat penting bagi memastikan persembahan di atas pentas kelak lebih dinamik dan tidak membosankan.
“Saya mengimpikan untuk membuat konsert kalau ada rezeki. Dalam konsert, saya perlukan lagu-lagu (rancak) seperti ini. Saya lebih tertumpu ke arah itu.
“Bayangkan kalau dalam EP (rakaman mini-album) saya letak 10 lagu balada, kalau saya mahu buat konsert nanti, ‘berdarah’ saya nak habiskan persembahan itu,” katanya lagi.
Single Pertama yang mendapat sentuhan komposer popular, Edry Abdul Halim sudah mula menemui pendengar di semua platform penstriman digital sejak 24 April lalu, manakala, muzik video (MV) Pertama boleh distrim sejak semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




