Proton e.MAS 7 PHEV mula pemasangan tempatan CKD di Tanjung Malim

Proton e.MAS 7 PHEV mula pemasangan tempatan CKD di Tanjung Malim

lizamridzuan@hmetro.com.my

Foto: Raihana Mansor

Tanjung Malim: Proton menerusi anak syarikat milik penuhnya, PRO-NET, memulakan pengeluaran tempatan (CKD) model Proton e.MAS 7 PHEV di Kilang EV PROTON, Automotive High Tech Valley (AHTV), di sini, sekali gus mengukuhkan usaha Malaysia menjadi hab serantau pembuatan kenderaan tenaga baharu (xEV).

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata pengeluaran CKD itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkukuh keupayaan industri automotif negara menerusi pelaburan, kerjasama dengan pembekal tempatan dan pembangunan ekosistem mobiliti elektrik.

“Pengeluaran hari ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar permulaan pemasangan tempatan. Ia mencerminkan komitmen PRO-NET untuk terus melabur dalam memperkukuh keupayaan Malaysia, bekerjasama dengan rakan tempatan serta memberikan nilai tambah kepada pelanggan demi masa depan mobiliti berkuasa elektrik,” katanya ketika majlis pelancaran.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin; Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, serta wakil beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Pengeluaran CKD itu dijangka memperkukuh rantaian bekalan automotif tempatan apabila 30 peratus komponennya diperoleh daripada pembekal tempatan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di kilang EV yang kini mempunyai 391 tenaga kerja.

Proton e.MAS 7 PHEV kini muncul sebagai kenderaan hibrid plug-in (PHEV) paling laris di Malaysia dengan 4,500 unit didaftarkan setakat tahun ini (YTD), manakala tempahan keseluruhan melepasi 11,000 unit, sekali gus mencerminkan keyakinan pengguna terhadap teknologi PHEV.

Bagi memenuhi permintaan, PROTON melabur RM37 juta bagi memperluaskan kilang pemasangan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di AHTV yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 42,000 unit setahun.

Serentak itu, PRO-NET memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada varian Premium dan Premium Plus, termasuk kerusi urut di bahagian hadapan. Model itu dikuasakan teknologi EM-i Advanced Hybrid dengan penggunaan bahan api 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer, jarak pemanduan elektrik sehingga 170 kilometer dan jarak keseluruhan sehingga 1,065 kilometer, selain dilengkapi pengecasan pantas DC serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Dengan ketiga-tiga model Proton e.MAS kini dipasang secara tempatan, langkah itu dijangka memperkukuh industri EV negara menerusi peningkatan kandungan tempatan, kapasiti pengeluaran dan pembangunan vendor automotif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top