Kye Li sapu bersih dua gelaran

Kye Li sapu bersih dua gelaran

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemain muda Negeri Sembilan, Chew Kye Li, membuktikan keunggulannya apabila muncul juara perseorangan dan beregu perempuan Bawah 13 Tahun (B-13) pada Pusingan Kelayakan Keempat Allianz Junior Badminton Championships (AJBC) 2026 yang berakhir di sini, baru-baru ini.

Pemain berusia 13 tahun dari SMJK Chan Wa 2 itu terlebih dahulu menjuarai acara perseorangan selepas bangkit menewaskan wakil tuan rumah, Nur Balqis Khatijah Ahmad Redzuan dari SMK Sultan Mansor, 6-15, 15-13, 15-12 dalam aksi sengit yang berlangsung hampir 30 minit.

Kye Li kemudian melengkapkan kejayaan berganda apabila bergandingan bersama Law Pei Xuan dari Chung Hua High School, Seremban untuk merangkul gelaran beregu perempuan B-13.

“Saya agak bimbang sebelum final perseorangan kerana sudah empat kali bertemu Nur Balqis sebelum ini. Saya hanya tewas sekali, tetapi kali ini dia bermain di gelanggang sendiri dan kelihatan lebih yakin,” kata Kye Li yang sudah lima tahun mewakili skuad badminton Negeri Sembilan.

“Saya teruja dapat beraksi di Grand Finals, tetapi saya perlu bekerja lebih keras kerana akan beraksi dalam dua acara. Saingan di Grand Finals pastinya lebih mencabar”.

Dalam aksi final beregu perempuan B-13, gandingan Kye Li-Pei Xuan ternyata terlalu ampuh apabila menewaskan pasangan Terengganu, Ines Seah-Nur Balqis Khatijah dari SMK Sultan Sulaiman dan SMK Sultan Mansor, 15-10, 15-10.

Pusingan kelayakan keempat AJBC 2026 diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Pengurus Cawangan Allianz Malaysia Kuala Terengganu, Joanne Loh dan Ketua Penolong Pengarah Unit Sukan 2, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Abdul Hadi Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Noor Sarah Zul Ain Zulkifli serta Pengerusi Teknikal Pembangunan Sukan Badminton Majlis Sukan Sekolah Terengganu, Mohd Fadzli Ariffin.

AJBC yang kini memasuki edisi kelima dianjurkan oleh Allianz Malaysia Berhad dengan sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kejohanan tahun ini membabitkan 10 pusingan kelayakan sebelum Grand Finals di Kuala Lumpur, dengan juara dan naib juara kategori B-13 serta B-15 dari setiap pusingan layak ke peringkat akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top