PSG catat rekod hasil RM4.56 bilion selepas musim bersejarah

PSG catat rekod hasil RM4.56 bilion selepas musim bersejarah

Paris: Juara Eropah, Paris Saint Germain (PSG), mengumumkan rekod hasil tertinggi dalam sejarah kelab berjumlah €837 juta (RM4.56 bilion) bagi musim 2024/25, tahun sama mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara pertama dalam sejarah kelab.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan, PSG menyifatkan musim lalu sebagai ‘musim bersejarah dari segi sukan dan ekonomi’, sekali gus menegaskan kestabilan model perniagaan kelab di bawah pemilikan Qatar Sports Investments (QSI) sejak 2011.

Menurut laporan kewangan tahunan itu, pendapatan komersial mencecah €367 juta (RM2 bilion), manakala hasil hari perlawanan (tiket dan hospitaliti) mencatat €175 juta (RM952 juta).

Jumlah keseluruhan meningkat berbanding €806 juta (RM4.39 bilion) musim sebelumnya.

PSG mengekalkan kedudukan ketiga dalam senarai ‘Football Money League’ Deloitte bagi musim 2023/24, di belakang Real Madrid dan Manchester City, yang masing-masing merekodkan pendapatan melebihi €837 juta (RM4.56 bilion).

“Prestasi ini menunjukkan kematangan projek sejak kehadiran QSI dan mengesahkan kekukuhan model ekonomi kelab, kini antara yang paling berjaya di dunia,” menurut kenyataan PSG.

Sebelum pengambilalihan oleh QSI pada 2011, pendapatan tahunan PSG hanyalah sekitar €99 juta (RM539 juta), angka yang kini melonjak hampir sembilan kali ganda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top