PSG sambar Neves dengan nilai €60 juta

PSG sambar Neves dengan nilai €60 juta

Paris: Paris St Germain (PSG) menandatangani pemain tengah Portugal yang sangat bernilai, Joao Neves, dari pasukan liga utama negara berkenaan, Benfica, dengan kontrak sehingga 2029, kata juara Ligue 1 itu.

Kedua-dua PSG dan Benfica tidak mendedahkan butiran perpindahan, tetapi The Athletic melaporkan bahawa perjanjian berkenaan bernilai sekitar €60 juta (RM312 juta) berserta dengan tambahan €10 juta (RM52 juta).

Neves, yang juga produk akademi Benfica, membuat 75 penampilan untuk kelab itu dalam semua pertandingan dan beraksi sembilan kali bersama Portugal.

Dia memenangi saingan liga musim 2022-23 dan Supertaca Candido de Oliveira tahun lalu bersama Benfica.

“Joao adalah salah seorang pemain yang paling berbakat di Portugal dan di peringkat antarabangsa,” kata Presiden PSG, Nasser Al Khelaifi, dalam satu kenyataan.

“Dia sangat bersemangat untuk menyertai PSG dan bertekad untuk berjuang ketika menyarung jersi kami dan itu yang kami harapkan daripada semua pemain.

“Kami terus membina pasukan muda yang hebat di PSG — berdasarkan kerja berpasukan, bakat, dan semangat kolektif — yang juga asas kepada masa depan hebat kelab kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top