PSG sedia tawaran lumayan buat Messi

PSG sedia tawaran lumayan buat Messi

PARIS: Paris Saint-Germain dilapor menyiapkan tawaran kontrak tiga tahun yang sukar ditandingi buat Lionel Messi.

Kontrak pemain 33 tahun itu tamat akhir musim ini, dan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona.

Selepas membuat permohonan perpindahan musim panans lalu sebelum membatalkannya, ramai menjangkakan pemenang enam kali Ballon d’Or itu akan meninggalkan Barca.

PSG antara kelab yang berpotensi menandatangani bintang Argentina itu yang akan diberikan jersi nombor 10 dimiliki Neymar ketika ini.

Penyerang Brazil itu mendedahkan rundingan kontraknya bersama PSG juga hampir selesai dan dia mungkin akan bergandingan sekali lagi dengan Messi.

PSG yang dikendali bekas bos Tottenham Mauricio Pochettino, menegaskan kehadiran Messi akan memberi lebih peluang untuk memenangi trofi semula.

Bagaimanapun di kem Barcelona, spekulasi kuat mengatakan Messi akan kekal di sana.

Presiden Barca Juan Laporta berkata selepas Messi menjulang Piala Raja Sepanyol Sabtu lalu – dengan meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Athletic Bilbao – dia yakin pemain itu akan kekal bersama kelab.

Isteri Messi, Antonela Rocuzzo juga dilaporkan sudah mula mencari rumah baharu berhampiran Barcelona. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top