PARIS Saint Germain (PSG) hampir pasti akan mendapatkan khidmat Lionel Messi selepas satu persetujuan telah dicapai dengan bekas penyerang Barcelona itu.
Perkara itu disahkan oleh Khalid bin Hamad Bin Khalifa Al-Thani iaitu salah seorang daripada kerabat Emir Qatar yang juga pemilik kelab gergasi Perancis itu.
“Perbincangan secara rasminya sudah selesai. Akan ada pengumuman rasmi selepas ini. #Messi #Paris_Saint_Germain,” kata Khalifa Al-Thani dalam laman Twitter miliknya pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, Khalifah Al-Thani turut memuat naik gambar Messi memakai jersi rasmi PSG.
Pada Jumaat, Messi telah meninggalkan Barcelona selepas kelab gergasi Sepanyol itu gagal memberikan kontrak baharu kepadanya atas kekangan kewangan.
Selepas 21 tahun bersama Barcelona, Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu telah meledak 672 gol dalam 778 penampilan (semua pertandingan), selain memenangi 31 kejuaraan utama.
PSG dilaporkan sebagai satu-satunya kelab yang bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan Messi untuk memastikan misi menjulang trofi Liga Juara-Juara dapat dicapai.




