mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) menyarankan kajian menyeluruh dilakukan terhadap profil psikologi dan ‘temperament’ pemandu kenderaan awam bagi mengenalpasti ciri-ciri personaliti berisiko tinggi.
Bakal Presiden PSIMA, Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, kajian tempatan dan antarabangsa menunjukkan bahawa ciri-ciri personaliti tertentu, gangguan emosi, serta penyalahgunaan bahan seperti alkohol boleh memberi kesan serius terhadap kemampuan seseorang untuk mengendalikan kenderaan secara selamat.
Menurutnya, malah, menurut kajian oleh WHO Global Status Report on Road Safety, faktor psikologi menyumbang lebih 20 peratus terhadap punca kemalangan jalan raya secara global.
“PSIMA mengesyorkan agar pihak berwajib menjalankan saringan psikologi berkala terhadap pemandu kenderaan awam, khususnya yang mengendalikan kenderaan berat atau melibatkan penumpang dalam jumlah besar.
” PSIMA juga menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan manipulasi proses pemeriksaan kenderaan serta kelonggaran dalam pemantauan rutin, yang menambah risiko walaupun pemandu berada dalam keadaan baik secara mental.
“PSIMA mencadangkan saringan psikologi mandatori untuk semua pemandu kenderaan awam, termasuk aspek tekanan, sejarah tingkah laku agresif, dan ketagihan.
“Mengadakan latihan pengurusan emosi iaitu modul psikologi praktikal untuk melatih pemandu mengawal tekanan, mengelak pemanduan marah, dan membina empati.
“Selain itu audit psikologi berkala iaitu penilaian semula tahap kesihatan mental dan kestabilan emosi secara berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, saringan kesihatan mental secara berkala adalah perlu bagi memastikan tahap kesejahteraan rakyat khususnya pemandu adalah terpelihara sekaligus dapat mengurangkan risiko kecelakaan di jalan raya.
“Penguatkuasaan memandu tanpa menggunakan handphone juga perlu diperketatkan selain penguatkuasaan lbih ketat terhadap pengambilan alkohol dan ubat tertentu:
“Disertai dengan pendidikan psikologi berkenaan kesannya terhadap kawalan tingkah laku,” katanya.
Katanya, PSIMA berpandangan bahawa menangani aspek psikologi adalah sama pentingnya dengan penyelenggaraan teknikal dalam memastikan keselamatan jalan raya.
“Pemandu bukan sekadar mengendalikan kenderaan, tetapi juga membawa amanah terhadap nyawa manusia dan haiwan yang berkongsi jalan yang sama.
‘Kami menyeru kerjasama semua pihak untuk menerapkan pendekatan psikologi dalam sistem pemilihan, pemantauan dan latihan pemandu.
“Sudah tiba masa kita melihat punca kemalangan bukan hanya dari sudut mekanikal, tetapi juga dari dalam minda dan hati mereka yang berada di belakang stereng,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




