KPF bangkit pelan rasionalisasi pacu kecemerlangan, utama kebajikan anggota

KPF bangkit pelan rasionalisasi pacu kecemerlangan, utama kebajikan anggota

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Aset secara berstruktur berjaya membantu Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) mempamerkan daya tahan selain mengukuhkan prestasi kewangannya.

Pengerusinya, Datuk Mohd Banuri Aris berkata pihaknya optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dilaksanakan secara berperingkat dan teliti berjaya membina semula asas kewangan yang kukuh untuk KPF.

Katanya, strategi rasionalisasi dan pemerkasaan tadbir urus yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuahkan hasil positif.

“Pelan Rasionalisasi Aset KPF membabitkan tiga langkah utama iaitu penjualan aset perladangan terpilih menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah tidak strategik yang kurang memberi pulangan mampan dan penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.

“Langkah ini bukan hanya bertujuan memulihkan kedudukan semasa, tetapi juga membina model perniagaan yang lebih lestari dan kompetitif dalam jangka panjang.

“Fokus kami adalah kepada kelestarian jangka panjang, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam pada itu, KPF sedang mengurus permohonan pengeluaran syer secara berperingkat, dengan memberi keutamaan kepada kes-kes mendesak menerusi laluan khas Green Lane, antaranya membabitkan keperluan perubatan, pendidikan serta ibadah haji dan umrah.

Sehingga April 2025, sebanyak 29,159 permohonan pengeluaran syer diterima dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 permohonan bernilai RM319.44 juta telah diselesaikan, manakala baki 10,376 permohonan melibatkan RM372.13 juta sedang diproses.

“Kami menguruskan pengeluaran dengan penuh tanggungjawab berdasarkan sistem giliran dan keutamaan, demi memastikan kebajikan anggota sentiasa terpelihara,” jelas Mohd Banuri.

Pihak pengurusan turut menekankan bahawa koperasi berfungsi berbeza daripada institusi perbankan.

“Koperasi bukan seperti bank. Setiap pelaburan ada tempoh matang dan pengurusan dana dilakukan secara berhemah serta mengikut peraturan,” tegasnya.

Tambahnya sokongan FELDA turut menjadi pemangkin kekuatan malah KPF merakamkan penghargaan khususnya Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek atas keyakinan yang diberikan, termasuk pelantikan KPF sebagai ejen tunggal bagi pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS).

Kepercayaan FELDA ini diyakini mampu memperkukuh lagi peranan KPF dalam ekosistem pembangunan komuniti peneroka di seluruh negara.

Lebih membanggakan, KPF kekal mencatat prestasi kukuh apabila tidak pernah mengalami kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980, menjadikannya antara koperasi paling stabil di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top