syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pendakwah bebas dan aktivis kemanusiaan, PU Rahmat Ikhsan mengingatkan rakan seperjuangan agar tidak mempertahankan tindakan jenayah seksual yang membabitkan Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed.
Menerusi satu hantaran di Threads, PU Rahmat menegaskan bahawa keputusan mahkamah harus dihormati memandangkan hukuman sudah dijatuhkan sebanyak dua kali terhadap individu berkenaan.
“Pendakwah-pendakwah jangan mempertahankan kezaliman rogol yang dilakukan Syed Iqmal. Sudah dua kali dia dijatuhkan hukuman mahkamah, bererti hakim sudah memberikan keputusan,” katanya.
Bagaimanapun, Rahmat menjelaskan bahawa Syed Iqmal masih mempunyai ruang untuk mengambil tindakan susulan mengikut jalur undang-undang sedia ada.
“Syed Iqmal masih ada peluang untuk merayu kerana ia hak dijamin perlembagaan,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, PU Rahmat turut menyeru mana-mana mangsa lain yang mungkin terbabit untuk tampil ke hadapan bagi menuntut keadilan.
Dia menyarankan mangsa untuk menghubungi aktivis kemanusiaan, Akhi Fairuz dan Firdaus Wong bagi mendapatkan bantuan lanjut.
“Kebenaran pasti akan menang,” tulisnya.
Terdahulu, tular di media sosial perdebatan mengenai kes membabitkan pendakwah selebriti itu yang mengundang pelbagai reaksi daripada kalangan netizen dan tokoh agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




