Puasa sebagai perisai, lalu apa yang akan dilindunginya?

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – أنَّ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال: ((الصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَلاَ يَرْفثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائمٌ – مَرَّتَيْنِ – وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ – تَعَالَى – مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ، يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي، الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا))؛ أخرجه البخاري.

Advertisement

Puasa perisai dari syahwat

– … dan perkara yang tidak berfaedah.

“Yang dimaksudkan dengan perisai adalah puasa itu mencegah seseorang daripada melakukan perkara syahwat.”

(Ibnu Athir)

Berpuasa bukan sahaja mencegah kita melakukan perkara yang haram, tetapi mendidik kita untuk meninggalkan perkara halal (di luar waktu puasa). Kalaulah benda yang asalnya halal pun kita mampu tinggalkan, selayaknya kita menjauhi perkara yang sememangnya diharamkan.

Puasa perisai lidah

– ….Jangan berkata keji.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

(صحيح البخارى، كتاب الصوم، باب من لم يدع قول الزور والعمل به فى الصوم)

“Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta bahkan melakukannya maka tiadalah bagi Allah hajat pada bahawa dia meninggalkan makanan dan minumannya.”

Al-Imam Abu Nu’aim merekodkan kisah bagaimana Saidina Abu Hurairah mengasingkan diri di masjid ketika berpuasa bagi menjaga puasanya dari perkara sia-sia. Kata Abu Nu’aim:

أنّهُ كَانَ وَأَصْحَابهُ إِذَاَ صَامُوا قَعَدُوا فِيْ المَسْجِدِ، وَقَالُوا: نُطَهّر صِيَامنَا

“Sesungguhnya dia (Abu Hurairah) dan Sahabatnya mengasingkan diri di masjid ketika berpuasa dan mereka berkata: Kami membersihkan puasa kami (dari perkara dosa dan sia-sia).”

(Abu Nu’aim, Hilyah al-Auliya)

Puasa perisai emosi

– ….jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, maka ucapkanlah, ‘Aku sedang berpuasa’.

Bahagian ini yang paling penting, kerana ia melibatkan interaksi kita dengan orang ramai. Paling kurang dengan ahli keluarga. Puasa sesungguhnya menghalangi seseorang berkelahi, jika diajak bertengkar walaupun boleh membalasnya. Dalam keadaan lapar tetapi bukan niat puasa, biasanya akan menjadikan seseorang itu lebih mudah emosi.

Berbeza dengan puasa, ia menjadi latihan untuk mengawal emosi kerana sudah diketahui sejak awal dan akan sampai masanya waktu berbuka. Perihal puasa menahan emosi ini boleh dilihat melalui kisah Saidatina Maryam pada ayat ke- 26 surah Maryam.

Panduan juga untuk kita yang diuji dengan fitnah untuk berpuasa dari berkata-kata, kerana jika kita membalas jawab pun belum tentu diterima. Sebagaimana Saidatina Aisyah yang difitnah dalam peristiwa Hadis Al-Ifki menjawab sebagaimana jawapan Nabi Ya’qub A.S setelah kehilangan Yusuf dengan ucapan ‘fasobrun jamil’

Perisai keseluruhan, bukan setakat menahan lapar dan dahaga

Fizikal, hati (iman) dan akal (emosi) sepatutnya terdidik dan menjadi lebih baik.

Badan bukan mesti ketul-ketul, tetapi makin segar dan sihat untuk beribadah. Iman tidak boleh diukur tetapi boleh dikira melalui prestasi ibadah yang meningkat atau konsisten. Emosi pula boleh dilihat bagaimana sikap kita dalam menghadapi rencam hidup dan berinteraksi dengan orang ramai.

Menjadi diri orang yang bercampur dengan orang ramai dan bersabar dengan karenah mereka adalah jauh lebih baik berbanding orang yang tidak bergaul, bahkan pemarah pula. Begitulah lebih kurang mahfum satu Hadis.

Kesimpulan: Manfaatkan perisai puasa sehabisnya, kita mahu selamat dunia akhirat

Peringatan ini sempena masuk hari kesepuluh Ramadan supaya kita sama-sama menilai prestasi hari lalu untuk melalui hari-hari berikutnya. Moga puasa ini juga benar-benar menjadi perisai buat kita daripada bakaran api neraka. Ya Allah, kurniakanlah kami istiqamah dalam beramal. 

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
22 April 2021 – HARAKAHDAILY 22/4/2021