Pukul Dengan Kerusi, Getah Paip dan Penyangkut Baju, Rosmaini Didakwa Cederakan Isteri Hingga Keguguran

Pukul Dengan Kerusi, Getah Paip dan Penyangkut Baju, Rosmaini Didakwa Cederakan Isteri Hingga Keguguran

Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya menggunakan pelbagai objek termasuk kerusi plastik, getah paip, penyangkut baju dan penyangkut besi dalam kejadian berasingan pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rosmaini didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya kira-kira jam 5 petang pada 29 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa sekali lagi memukul mangsa menggunakan penyangkut baju dan penyangkut besi di lokasi sama kira-kira jam 9 pagi pada 23 April lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memaklumkan walaupun kes berkenaan merupakan kes boleh jamin, proses itu tidak dapat dilaksanakan berikutan tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Peguam bela kemudian membuat rayuan agar mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya mempunyai dua isteri dan menanggung 11 anak termasuk tujuh yang masih bersekolah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kejadian menimpa seorang wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam yang cedera parah di beberapa bahagian badan selepas dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian di Bandar Amanjaya.

Mangsa turut dilaporkan mengalami keguguran ketika kandungannya berusia 12 minggu akibat kejadian tersebut.

Selepas kejadian itu, suspek dipercayai melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis di sekitar Alor Setar.

Polis turut mengesahkan lelaki berkenaan adalah individu sama yang pernah disabitkan kesalahan memukul isteri di Johor Bahru pada 2021.


Scroll to Top