Pulangkan hasil Johor: Putrajaya digesa ‘tutup kebocoran’, berlaku adil

Pulangkan hasil Johor: Putrajaya digesa ‘tutup kebocoran’, berlaku adil

SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan digesa untuk menghentikan sikap berdolak-dalih dan bertindak adil dengan mengembalikan hasil negeri Johor secara lebih munasabah demi pembangunan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, beliau menyokong penuh titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menyeru agar ketidakadilan struktur perkongsian hasil oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera diperbetulkan.

Menurutnya, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun kadar pulangan yang diterima bagi menampung keperluan hampir lima juta penduduk hanyalah sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion sahaja.

“Angka ini tidak logik, tidak adil, dan menghina maruah rakyat Johor yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. Titah baginda bukan sekadar suara seorang pemimpin, sebaliknya suara hati 4.9 juta rakyat Johor.

“Menjawab kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi ‘banyak bocor’, sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, ya memang banyak bocor, tetapi kepimpinan Persekutuan yang culas dan tidak adillah yang membocorkan Johor kerana hasilnya disedut keluar dan tidak dikembalikan secara saksama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Hairi turut membidas sikap kepimpinan Persekutuan yang didakwa hanya pandai menuding jari kepada negeri, tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab asas seumpama membaiki sekolah, menaik taraf hospital dan membaik pulih jalan raya sehingga terpaksa menunggu kelulusan Putrajaya.

Mengulas mengenai portfolio di bawah kendaliannya, beliau menzahirkan persetujuan dengan titah Pemangku Sultan berhubung isu Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) di Larkin yang sepatutnya digazetkan peruntukan besar bagi kerja pemindahan dan naik taraf.

Jelasnya, isu berkenaan masih tertangguh meskipun sudah diajukan secara terus melalui pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan setiap tahun serta surat-menyurat rasmi sejak beliau menjawat jawatan exco, namun ia masih tidak dibincangkan secara serius bersama kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan tetap memperjuangkan bagi memastikan KOMBES ditempatkan di lokasi baharu demi kelangsungan belia dan atlet Johor.

Selain isu belia, Mohd Hairi turut mendedahkan kelewatan projek kesihatan utama yang menjadi nadi rakyat, termasuk Hospital Pasir Gudang yang pernah berdepan risiko pembatalan sebelum diselamatkan hasil desakan konsisten Pemangku Sultan Johor selama empat tahun.

Tambah beliau, projek Hospital Sultanah Aminah 2 masih belum dimuktamadkan selain isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan yang terus menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat marhaen.

“Saya ingin bertanya kepada Pakatan Harapan: siapa yang susah dalam keadaan ini? Bukan orang atasan, tetapi rakyat marhaen yang menanggung akibatnya.

“Berkenaan dakwaan ‘overclaim’ terhadap projek-projek besar di Johor, tidak perlulah menunjukkan siapa yang bawa atau siapa yang laksanakan.

“Sebagai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sememangnya tugas kita adalah untuk melaksanakan perkara yang memberi limpahan manfaat buat rakyat, tidak kira parti mana yang memerintah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Hairi selaku anak jati Johor menyatakan sokongan padu terhadap tuntutan agar sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip daripada Johor dikembalikan kepada negeri berkenaan.

Tegasnya, tuntutan tersebut bukanlah untuk bermusuh atau mencetuskan konflik, sebaliknya bagi menuntut hak mutlak rakyat Johor agar Putrajaya menjaga negeri itu sebagai rakan kongsi pembangunan negara dan bukan sekadar sumber kutipan hasil semata-mata.

 

 

Scroll to Top