redzuan.muharam@hmetro.com.my
Georgetown: “Saya tak tahu dia di mana sekarang cuma naluri sebagai bapa merasakannya masih ada (hidup)”.
Begitu luahan Ghazali Ismail, 66, yang runsing selepas anaknya, Muhamad Syahir Ghazali, 30, hilang tanpa khabar berita sejak 10 hari lalu.
Lebih merumitkan keadaan apabila Muhamad Syahir tidak membawa telefon bimbit bersama sekali gus menyebabkan Ghazali dan keluarganya tidak dapat menjejaki anak keempatnya itu.
Bercerita lanjut, Ghazali berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Muhamad Syahir adalah sebelum anaknya itu adalah di rumahnya dekat Kampung Tersusun Haji Tahir di Temoh, Perak pada 16 Februari lalu.
“Kami tak tinggal bersama kerana anak bekerja sebagai juruteknik di sebuah hotel di Pulau Pinang.
“Baru-baru ini pun dia ada balik ke kampung jadi dapat jumpa cuma beberapa hari saja sebelum bertolak pulang ke Pulau Pinang pada 16 Februari kerana keesokannya dia sudah bekerja.
“Sepanjang di rumah, saya nampak anak macam biasa, tak ada yang pelik malah kami bersembang macam biasa cuma dia balik macam terburu-buru kerana jam 11 pagi sudah bertolak dari rumah dengan alasan nak singgah di Taiping, Perak untuk ambil rakannya di situ” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Ghazali, dia tidak tahu mengenai kehilangan Muhamad Syahir sehingga dihubungi penyelia sebuah hotel di Pulau Pinang iaitu tempat anaknya bekerja tiga hari selepas dilaporkan hilang.
“Pada 20 Februari, saya dihubungi penyelia berkenaan yang bertanya di mana anak saya kerana katanya sudah tiga hari tak datang kerja.
“Saya terkejut dan memberitahunya anak tiada di rumah saya.
“Waktu itu, saya di Kuala Lumpur dan terus bertolak ke Pulau Pinang keesokannya (21 Februari) bersama isteri (Salina Ahamad, 59, untuk mencari anak.
“Kami ke tempat kerja anak dulu dan dapat tengok rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan anak bergegas menunggang motosikal keluar daripada hotel kira-kira jam 5.22 petang pada 17 Februari,” katanya.
Ghazali berkata, penyelia hotel memberitahunya yang Muhamad Syahir datang kerja seperti biasa pada hari kejadian cuma terus pulang sebaik selesai tugasan hingga tertinggal telefon bimbitnya.
“Itu saja maklumat saya dapat dan sudah ke asrama pekerja yang menjadi tempat penginapannya tapi tak jumpa.
“Saya cuba cari juga di sekitar masjid kerana anak ada kalanya suka tidur di situ sebab katanya tak berapa selesa tinggal di asrama… tapi tetap tak jumpa walaupun hampir setiap masjid di Pulau Pinang saya sudah pergi cari.
“Saya dapat rasakan dia pergi ikut jemaah tabligh cuma tak tahu di mana dan pelik kerana tak bawa telefon bimbit.
“Saya sekeluarga risau sangat terutama ibunya yang sedih sangat mengenangkan Syahir (nama panggilan),” katanya yang terpaksa bermalam di hotel sekitar Pulau Pinang untuk mencari Muhamad Syahir.
Sementara itu, isterinya, Salina mengakui sedih dan susah hati sejak menerima berita kehilangan Muhamad Syahir.
“Memang terkejut bila dapat tahu dan tak sangka juga kerana tak pernah berlaku.
“Sebelum ini pun, Syahir selalu hubungi saya menerusi panggilan video malah ke mana pergi akan beritahu cuma kali terakhir dia telefon waktu sudah sampai di Pulau Pinang sebelum senyap.
“Saya pun tak teringat nak menghubunginya selepas itu sebab sibuk dengan persiapan sekolah anak lain.c
“Bermacam andaian benda bermain di fikiran saya, harap dia masih hidup tapi takut juga kalau kena culik kerana zaman sekarang lelaki pun boleh jadi mangsa,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 23 Februari lalu.
“Saya harap ada berita baik dan cepatlah anak kembali ke pangkuan kami sekeluarga.
“Mereka yang ada ternampak anak saya mohon tampil kerana sedih memandangkan tak lama lagi nak puasa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhamad Syahir boleh menghubungi bapanya, Ghazali di talian 011-33142443.
© New Straits Times Press (M) Bhd




