HONG KONG – China melengkapkan fasa pertama pembinaan di Antelope Reef, Kepulauan Paracel dengan membentuk sebuah pulau buatan di kawasan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
Menurut laporan Reuters berdasarkan penelitian imej satelit, pulau buatan yang ditambak itu mempunyai panjang kira-kira enam kilometer dan dilengkapi beberapa infrastruktur, termasuk jeti, pelabuhan serta landasan yang berpotensi melebihi tiga kilometer. Pembinaan turut membabitkan kemudahan seperti landasan helikopter.
Reuters melaporkan penganalisis melihat pembangunan itu berpotensi menjadi sebahagian daripada pangkalan tentera terbesar China di rantau berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan ketenteraan Beijing di kawasan strategik Laut China Selatan.
Kedudukan Antelope Reef juga dilihat strategik, khususnya dalam sebarang kemungkinan konflik membabitkan Taiwan selain berpotensi meningkatkan keupayaan China untuk menjalankan operasi pemantauan dan ketenteraan di kawasan berkenaan.
Walaupun Beijing menyatakan kemudahan itu boleh digunakan bagi tujuan awam seperti ramalan cuaca dan penyelidikan, penganalisis berpandangan penggunaannya untuk tujuan ketenteraan lebih berkemungkinan.
Antara keupayaan yang berpotensi dibangunkan termasuk sistem pengawasan dan dalam jangka panjang, kemudahan yang boleh menyokong operasi pesawat pengebom strategik.
Pembangunan itu juga berpotensi menjadikan Antelope Reef sebagai kawasan perlindungan strategik bagi kapal selam berkuasa nuklear China, sekali gus menyukarkan operasi Amerika Syarikat (AS) dan negara yang turut mempunyai tuntutan di kawasan berkenaan, termasuk Vietnam.
Antelope Reef terletak di Kepulauan Paracel, kawasan yang menjadi pertikaian antara China dan Vietnam.
Perkembangan terbaharu itu menambah kebimbangan mengenai peningkatan ketenteraan China di Laut China Selatan.
Pembinaan berkenaan berlaku ketika ketegangan di Laut China Selatan terus menjadi perhatian serantau, khususnya membabitkan China, AS dan negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih di kawasan berkenaan.
