CHANDIGARH – Sebuah majlis perkahwinan di Firozpur, Punjab, India bertukar kecoh selepas pengantin perempuan enggan berkahwin dengan pengantin lelaki sebaik melihatnya di lokasi majlis.
Rombongan pengantin lelaki yang datang dari Chhatargarh, Rajasthan akhirnya pulang dengan hampa.
Upacara perkahwinan dikatakan belum sempat bermula ketika pengantin perempuan melihat bakal suaminya sebelum memutuskan untuk membatalkan perkahwinan.
Pengantin perempuan mendakwa gambar lelaki lain ditunjukkan kepadanya sebelum majlis, namun terkejut apabila individu lain yang muncul sebagai bakal suaminya.
Keluarga pengantin lelaki pula mendakwa perkahwinan itu diatur dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Ia tiada kaitan dengan kami kerana gambar yang didakwa telah diberikan orang tengah dan ibu pihak perempuan,” kata datuk pengantin lelaki, Mahendra Singh.
Timbalan Superintenden Polis (DSP) Guru Har Sahai, Tejinderpal Singh berkata, mereka menerima aduan daripada keluarga pengantin lelaki dan telah memulakan siasatan.
“Kedua-dua pihak akhirnya menyelesaikan perkara itu secara baik,” ujarnya. – Agensi

