Lelaki Israel ditahan cetus kebakaran hutan di Greece

ATHENS – Pihak berkuasa Greece menahan seorang lelaki Israel kerana disyaki mencetuskan kebakaran hutan di Pulau Crete ketika negara itu berdepan peningkatan kebakaran bermusim yang meragut nyawa.

Pelaku berusia 35 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu didakwa menyalakan barbeku di kawasan berhutan berhampiran bandar Rethimno di pantai utara Crete meskipun larangan membakar sedang berkuat kuasa di seluruh pulau berkenaan.

Pihak berkuasa mengesyaki bara api daripada barbeku itu diterbangkan angin kencang dari rumah tamu tempat lelaki berkenaan menginap sebelum mencetuskan kebakaran.

Dia kemudiannya didakwa atas kesalahan mencetuskan kebakaran secara cuai.

Minggu lalu, Jabatan Bomba Greece memaklumkan lebih 280 individu telah ditahan di seluruh negara kerana kesalahan berkaitan kebakaran.

Mereka yang bertanggungjawab mencetuskan kebakaran di Greece kini berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum 200,000 euro (RM940,000). – Agensi

Scroll to Top