sukan@hmetro.com.my
Georgetown: Pulau Pinang kini berada dalam fasa persiapan pusingan terakhir bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan Sea 2027 dengan tumpuan khusus kepada aspek logistik termasuk pengurusan trafik dan akses ke venue pertandingan bagi memastikan kelancaran pergerakan atlet dan petugas terlibat.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pihaknya bersedia memastikan persediaan rapi dilakukan pada tahap tertinggi terutama membabitkan aspek logistik memandangkan beberapa projek pembangunan infrastruktur mega yang sedang berjalan rancak di negeri itu.
“Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Projek penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sedang berlaku ketika ini dijangka memberi kesan kepada pergerakan atlet dan pegawai.
“Bagaimanapun kami bersedia memastikan semua yang dirancang berjalan lancar dan faktor keselesaan penyokong serta penonton yang ingin hadir menyaksikan temasya sukan itu turut diberi perhatian dalam perancangan keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Insentif Atlet Pulau Pinang Kerjaya dan Pendidikan (PACE), Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) Para ASEAN 2025 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Sea 2027 Kluster Pulau Pinang.
Majlis disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Daniel memaklumkan Pulau Pinang mempunyai kapasiti mencukupi dan kemudahan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa yang lengkap tanpa perlu membina venue baharu.
Beliau berkata, enam acara bakal dipertandingkan di negeri itu membabitkan sukan dalam bangunan iaitu sepak takraw, snuker, biliard, judo, tinju, ping pong serta bola lantai.
Tambahnya, kerajaan negeri melengkapkan bengkel penyelarasan bersama agensi terlibat dan sebelum mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Sukan Kebangsaan serta Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Malaysia (MASOC) sebelum pengumuman rasmi berhubung perincian venue selepas perbincangan muktamad diadakan dalam tempoh terdekat
© New Straits Times Press (M) Bhd




