Polis cari pemandu Toyota Vellfire terbabit kemalangan ragut nyawa lelaki

Polis cari pemandu Toyota Vellfire terbabit kemalangan ragut nyawa lelaki

hafidzul@hmetro.com.my

Subang Jaya: Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tiga kenderaan yang mengorbankan penunggang motosikal di Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, Rabu lalu untuk tampil membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 10.35 pagi itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun meninggal dunia di lokasi selepas parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang Modenas Pulsar di lorong tengah dari arah Putra Heights menghala ke One City.

“Motosikal mangsa dipercayai dihimpit MPV jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.

“Akibatnya, mangsa terjatuh di lorong kiri jalan sebelum dilanggar lori yang dari arah sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohd Fairus berkata, pihaknya masih mengesan pemandu Toyota Vellfire untuk bantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top