am@hmetro.com.my
Georgetown: Pulau Pinang berada di kedudukan ke-69 daripada 402 bandar paling selamat di dunia dengan Skor Indeks Jenayah 28.9 dan Indeks Keselamatan 71.1.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kedudukan itu diperoleh berdasarkan laporan NUMBEO 2026 dan angka itu memberi gambaran mengenai tahap keselamatan semasa.
Katanya, namun yang lebih penting ialah keyakinan rakyat bagi terus menjalani kehidupan seharian dalam suasana aman dan terjamin.
“Kita mahu Pulau Pinang terus menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan pembangunan tetapi juga aman bagi didiami, selamat untuk keluarga dan harmoni kepada semua.
“Keamanan adalah tanggungjawab bersama malah kerajaan, pasukan keselamatan dan seluruh masyarakat mempunyai peranan bagi memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus dipelihara.
“Pulau Pinang mesti terus menjadi tempat yang diyakini rakyat untuk hidup, bekerja dan membina masa depan,” katanya dalam kenyataan di Facebook selepas menerima taklimat keselamatan daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam taklimat berkenaan ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zailanni Amit.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama.
Katanya, ia berdasarkan taklimat yang diterima, situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Pulau Pinang kekal aman, stabil dan terkawal.
“Tiada sebarang insiden dilapor iaitu yang boleh menjejaskan kestabilan serta keharmonian negeri.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama,” katanya lagi
© New Straits Times Press (M) Bhd

