Puluhan rakyat Palestin cedera di Tebing Barat

Puluhan rakyat Palestin cedera di Tebing Barat

RAMALLAH: Puluhan penunjuk perasaan warga Palestin cedera selepas bertembung dengan tentera Israel berhampiran tiga bandar di Tebing Barat semalam.

Beberapa saksi kejadian memaklumkan, pertembungan itu berlaku di perkampungan di selatan dan timur bandar Nablus di utara Tebing Barat.

Pengarah kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Ahmad Jibril, berkata tentera Israel melepaskan tembakan dan mencederakan 13 penunjuk perasaan menggunakan peluru besi bersalut getah ketika pertembungan itu.

Pasukan perubatan dan saksi berkata, pertembungan turut berlaku di bandar Hebron di selatan Tebing Barat dan bandar Qalqilya di utara Tebing Barat.

Di kedua-dua bandar itu, tentera Israel dilaporkan melepaskan gas pemedih mata serta peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Setakat ini, tiada sebarang komen daripada pihak tentera Israel berhubung pertembungan yang berlaku ketika protes menentang rampasan tanah Palestin oleh Israel dan pengembangan penempatan haram Israel di Tebing Barat. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top