Pura-pura menginap sebelum larikan kelengkapan inap desa

Pura-pura menginap sebelum larikan kelengkapan inap desa

bhnews@bh.com.my

MELAKA: Lima lelaki dicekup polis selepas disyaki melarikan kelengkapan sebuah inap desa dalam serbuan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata suspek berusia 17 hingga 33 tahun ditahan kira-kira jam 12.20 tengah malam oleh sepasukan polis dari Cawangan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima di Balai Polis Alor Gajah jam 9.45 malam Sabtu lalu daripada seorang lelaki berusia 48 tahun yang juga pemilik inap desa mengenai kecurian di premisnya di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru.

“Siasatan mendapati modus operandi digunakan suspek adalah berpura-pura untuk menyewa ‘homestay’ sebelum mencuri perkakas rumah.

“Suspek dikatakan ingin menyewa tiga hari dua malam tetapi selepas kira-kira tiga jam mendapat kunci serta mendaftar masuk, suspek kemudian memaklumkan kepada pemilik bahawa barangan dalam homestay tiada lalu membatalkan tempahan,” katanya.

Mohd Sukri berkata, turut ditemui bersama suspek adalah barangan yang dilaporkan hilang antaranya mesin basuh, peti sejuk dan penapis air dan kesemua itu dianggarkan bernilai RM1,500.

“Semakan lanjut juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Polis turut menemui beberapa paket dipercayai dadah jenis syabu daripada seorang suspek,” katanya.

Mohd Sukri berkata, kesemua suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top