‘Tunjuk bukti ADUN UMNO sertai komplot jatuhkan kerajaan Negeri Sembilan’ – Bibi Sharliza

‘Tunjuk bukti ADUN UMNO sertai komplot jatuhkan kerajaan Negeri Sembilan’ – Bibi Sharliza

SEREMBAN – Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional(BN) Negeri Sembilan mengatur gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri ini adalah tidak benar.

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, sekiranya benar terdapat perjumpaan atau komplot seperti yang didakwa, ia perlulah dikemukakan sebagai bukti kepada rakyat.

“Jika tiada bukti, hentikan segera budaya politik fitnah, spekulasi dan penyebaran maklumat palsu yang hanya mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi.

“Sebagai salah seorang ADUN BN dan KetuaWanita UMNO Negeri Sembilan, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular kononnya terdapat ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan yang telah menghadiri satu perjumpaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi merancang gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri,”katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, dakwaan tersebut dilihat sebagai cubaan terdesak untuk mencetuskan persepsi politik serta mengalihkan perhatian rakyat daripada krisis institusi, adat dan perlembagaan yang sedang melanda negeri ini ketika ini.

Tambahnya, lebih membimbangkan, dakwaan berkenaan kini cuba diperkuatkan dengan penyebaran pelbagai cerita dan dokumen yang kononnya membuktikan wujudnya komplot politik melibatkan ADUN UMNO.

“Namun sehingga hari ini, tiada sebarang bukti yang sah, jelas dan boleh disahkan pernah dikemukakan kepada rakyat bagi menyokong tuduhan tersebut.

“Saya menolak sekeras-kerasnya cubaan mengaitkan ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan dengan dakwaan kononnya wujud gerakan menjatuhkan kerajaan atau usaha ‘tebuk atap’,”katanya.

Beliau yang juga ADUN Juasseh turut menyifatkan tuduhan terbabit bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan usaha terancang untuk membina persepsi politik tanpa sebarang asas yang kukuh.

Lebih membimbangkan ujar Bibi Sharliza, dakwaan itu timbul ketika rakyat sedang menuntut penjelasan dan penyelesaian terhadap isu sebenar yang melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

“Masih ada pihak yang memilih untuk bermain dengan naratif politik bagi menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.

“Politik yang matang seharusnya berteraskan fakta dan kebenaran, bukannya khabar angin yang sengaja direka untuk mengelirukan rakyat sedangkan mereka mahukan jawapan terhadap isu sebenar yang sedang berlaku,”katanya.

Tambahnya, rakyat mahu melihat kepimpinan yang bertanggungjawab dan berani menyelesaikan masalah, bukannya terus menuding jari serta mencipta musuh politik khayalan bagi menutup kegagalan pentadbiran.

Tegasnya, Wanita UMNO Negeri Sembilan berpendirian bahawa rakyat berhak mendapat fakta, bukannya persepsi.

“Negeri Sembilan memerlukan penyelesaian, bukannya spekulasi. Negeri ini memerlukan kepimpinan yang fokus kepada kestabilan, keharmonian institusi dan kesejahteraan rakyat, bukannya terus dibelenggu dengan permainan politik yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa.

“Jangan cuba mencipta naratif kononnya wujud gerakan “tebuk atap”, komplot politik atau perancangan menjatuhkan kerajaan semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar yang sedang dipersoalkan oleh rakyat,”katanya.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan bahawa Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan perbincangan awal dengan UMNO mengenai usaha untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Surat bertarikh 25 Mei itu menyatakan bahawa beberapa siri perbincangan telah berlaku antara Pas, Bersatu dan UMNO sebelum 14 Adun Umno-BN menarik sokongan terhadap pentadbiran Aminuddin.

Ia menyebut bahawa salah satu pertemuan tersebut, di Ibu Pejabat Bersatu pada 24 April, melibatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan tiga ADUN Pas, serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dua ADUN Bersatu, bagi tujuan menandatangani akuan berkanun.

Mesti Baca

Scroll to Top