10 Jun 2026 05:22pm
Masa membaca: 4 minit

Ker Chean (kiri) dan Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 disifatkan sebagai bukti bahawa PKR mampu kekal relevan dan menjadi antara parti politik utama negara untuk jangka masa panjang.
Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, tempoh hampir empat tahun Anwar menerajui kerajaan menunjukkan kemampuan parti itu untuk terus bertahan dan berkembang, sekali gus menolak tanggapan bahawa PKR akan berakhir selepas era kepimpinan beliau.
Menurutnya, kejayaan PKR melahirkan seorang Perdana Menteri membuktikan parti berkenaan mempunyai asas perjuangan dan sokongan yang kukuh.
“Saya menolak tanggapan yang mengatakan PKR akan hilang selepas era Anwar, terutama selepas beliau berjaya membawa PKR ke tahap melahirkan Perdana Menteri Ke-10.
“PKR pernah menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan. Hari ini, PKR pula menjadi tonggak kerajaan dengan ketua parti sebagai Perdana Menteri. Saya yakin PKR akan terus kekal sebagai institusi politik yang relevan untuk tempoh yang panjang,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meramalkan parti itu berdepan risiko besar untuk lenyap selepas era Anwar jika terus mengekalkan struktur birokratik lama dan gagal melakukan pembaharuan.
Rafizi dilaporkan berkata, fokus PKR ketika ini terlalu berpaksikan kepada kelangsungan politik Anwar semata-mata, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju parti selepas era kepimpinan Perdana Menteri itu berakhir.
Mengulas lanjut, Ker Chean berkata, PKR telah melahirkan ramai tokoh dan pemimpin sejak berada di blok pembangkang, manakala usaha membangunkan barisan kepimpinan baharu terus diperkukuh selepas parti itu menjadi kerajaan.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan pengkhianatan, PKR tetap mampu kekal relevan kerana perjuangan parti ini membawa visi serta harapan rakyat daripada pelbagai kaum.
“Proses melahirkan pemimpin pelapis juga sedang dipergiatkan bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti pada masa hadapan,” ujarnya.



