bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Pusat beli belah yang menjadi tumpuan ketika orang ramai membuat persiapan menjelang Aidilfitri diminta kerap menjalankan proses sanitasi bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan semua pusat beli belah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui kuasa yang diberikan termasuk menasihati pengunjung serta mengenakan kompaun.
Katanya, setiap pusat beli belah itu melantik syarikat sendiri untuk menjalankan sanitasi dan ia perlu lebih kerap diadakan ketika musim perayaan berikutan jumlah pengunjung lebih ramai berbanding hari biasa.
“KPKT hanya akan melakukan sanitasi di pusat beli belah sekiranya mendapat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penutupan Pertandingam Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Azan di Ibupejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya, di sini, hari ini.
Zuraida berkata, program sanitasi membabitkan tempat awam dan bangunan kerajaan pula akan diadakan secara berterusan.
Beliau berkata, memandangkan jumlah kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat, pihaknya akan memulakan pusingan ke dua sanitasi di tempat awam dan bangunan kerajaan.
“Setakat hari ini, sebanyak 7,413 premis kerajaan termasuk 311 pusat tahfiz di sanitasi membabitkan anggota bomba, PBT dan agensi lain.
“Pada Aidilfitri ini, hanya 20 peratus anggota bomba dibenarkan bercuti, manakala 10,000 akan bertugas dan bersiap sedia bagi menghadapi bencana alam, pematuhan COVID-19 dan kemalangan,” katanya.
Pada program itu, Zuraida turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 46 kakitangan terdiri daripada ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU) kumpulan B40.
© New Straits Times Press (M) Bhd




