Klang: Kewujudan pusat-pusat judi di sekitar Meru di sini, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai aspek peningkatan gejala sosial berpunca aktiviti perjudian.
Lebih membimbangkan, premis-premis berkenaan juga didakwa beroperasi dengan menggunakan peralatan lebih moden dan kawalan keselamatan lebih ketat seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu serta laluan masuk.
Pemantauan itu dilakukan dipercayai bagi mengawal pergerakan keluar masuk pengunjung selain memastikan kegiatan mereka tidak dimasuki pihak berkuasa yang menyamar.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Boy berkata, kegiatan itu dikesan semakin aktif sejak awal tahun ini dan premis berkenaan didapati bertambah sekurang-kurangnya 10 premis dikesan menjalankan aktiviti perjudian sedemikian.
“Pada mulanya ada dua kedai sahaja, tetapi dari awal tahun sampai sekarang semakin banyak pula kedai mesin dan juga nombor ekor haram. Ada satu premis dekat dengan masjid di pekan Meru dan Balai Polis Meru.
“Lebih 10 tahun dahulu ada pusat judi yang menggunakan mesin dengan cara memasukkan duit syiling. Sekarang mereka dipercayai menggunakan peranti seperti tab dan permainan judi itu dibuat secara elektronik dalam talian,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, bagaimanapun keadaan itu membimbangkan apabila mula memberi kesan negatif kepada masyarakat tanpa mengira peringkat umur termasuklah golongan usia pertengahan.
“Aktiviti judi itu memberi keburukan kepada masyarakat, ramai kawan-kawan yang ‘rosak’ akibat terjebak dengan masalah judi. Kemudian ada yang mendakwa keluarga berantakan akibat kalah judi, duit pencen habis, anak terabai,” tambahnya.
Dalam pada itu, Boy turut memaklumkan, dia dan penduduk tempatan lain sedang menunggu tindakan lanjut selepas masalah berkenaan sudah pun dibincangkan dengan pihak berkuasa.
“Kami sudah maklumkan kepada polis berkenaan situasi itu. Ada perbincangan dengan ketua balai polis sebelum ini. Cuma sehingga kini belum ada tindakan.
“Ada juga penduduk yang tidak berpuas hati dan mahu menyerbu premis terbabit. Namun mereka dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian sebab akhirnya nanti boleh ditangkap kerana menceroboh,” katanya.
Sementara itu, Nazir Masjid As-Syarif, Zawawi Temyati, berkata dia menasihatkan penduduk supaya tidak bertindak melulu atau terburu-buru dan membuat aduan menggunakan saluran rasmi.
“Daripada segi hukum syarak, judi memang haram. Tetapi biarlah aduan atau laporan dibuat secara rasmi kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Kita kumpulkan maklumat dan serah kepada pihak berkuasa.
“Namun yang dikesalkan adalah kewujudan pusat judi dan juga kedai jual minuman keras di kawasan majoriti orang Islam. Meskipun ada ramai pekerja asing, namun itu bukan alasan dan kami bantah pusat judi serta kedai jual arak di Meru,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




