am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Sebuah premis bangunan perniagaan yang dijadikan pusat hiburan karaoke secara tidak sah untuk warga asing di Jalan Kampung Baru, di daerah ini diserbu polis malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, serbuan dilakukan jam 11.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Beliau berkata, pusat karaoke itu yang hanya dikunjungi warga asing pernah diserbu sekitar pertengahan tahun ini namun beroperasi semula tidak lama kemudian.
“Dalam operasi itu, polis menahan 21 warga Myanmar yang terdiri daripada 14 lelaki dan tujuh wanita.
“Tangkapan itu termasuklah penjaga kaunter lelaki berusia 28 tahun dan dua pekerja wanita berusia 20-an warga Myanmar manakala kesemua pelanggan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 34 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata, kesemua mereka direman 14 hari bermula 9 November lalu untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1997.
© New Straits Times Press (M) Bhd




