BANDAR SUNWAY – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) terus mengukuhkan kedudukannya apabila kekal sebagai hospital pintar nombor satu di Malaysia dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia 2027 oleh Newsweek.
Hospital itu turut mencatat peningkatan kedudukan apabila berada di tangga ke-226 dunia berbanding ke-313 pada 2026 berdasarkan penilaian Newsweek bersama Statista terhadap fasiliti penjagaan kesihatan di 33 negara dengan mengambil kira penerapan serta pengintegrasian teknologi pintar dalam operasi hospital.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG), Datuk Lau Beng Long berkata, pihaknya berbangga apabila diiktiraf sebagai hospital pintar Nombor 1 di Malaysia dan antara yang terkemuka di peringkat global.
“Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen jangka panjang Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway dalam mencapai kecemerlangan dari segi pembangunan infrastruktur serta kecekapan klinikal dan perkhidmatan dengan memanfaatkan inovasi.
“Tumpuan utama ini menyokong hasrat kami untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan bersepadu yang memacu pertumbuhan perkhidmatan perubatan berkualiti pada masa hadapan di Malaysia dan rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Erica Lam berkata, penerapan teknologi bukan sekadar untuk memenuhi keperluan operasi, sebaliknya perlu memberikan manfaat secara langsung kepada pesakit.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan pesakit, kecekapan operasi serta pengalaman lebih baik sepanjang menerima rawatan.
“Sungguhpun kami menyambut baik pengiktirafan ini, perkara yang paling penting ialah impak sebenar yang dibawakan oleh teknologi kepada pesakit kami, serta cara kami menyediakan penjagaan,” ujarnya.
Dalam usaha memperluas inovasi perubatan, SMC mengintegrasikan pelbagai teknologi diagnostik, pembedahan dan automasi operasi merentasi bidang kepakaran termasuk sistem farmasi berautomasi bagi pesakit luar dan pesakit dalam dikenali sebagai Outpatient Pharmacy Automation System (OPAS) dan Inpatient Pharmacy Automation System (IPAS).
Hospital itu turut menggunakan pengimbas CT pengiraan foton (PCCT) pertama di Malaysia yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan dos radiasi, mengautomasikan aliran kerja klinikal dan menghasilkan imej beresolusi tinggi.
Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC mempunyai 961 katil berlesen merentasi 28 Pusat Kecemerlangan dengan perancangan meningkatkan kapasiti kepada lebih 1,000 katil dalam masa terdekat.
Hospital itu turut menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi antarabangsa iaitu Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI), Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).



