Kuala Lumpur: Puteri sulung penyanyi Poey Stings, 53, iaitu Putri Amyshakila bergraduasi dengan cemerlang dan meraih Anugerah Dekan, baru-baru ini.
Tiada kegembiraan lebih besar melihat kejayaan anakanda tercintanya dan Poey atau nama sebenarnya Hasri Hashim tidak mahu terlepas berkongsi momen manis.
“Semoga kakak berjaya dunia dan akhirat. Doa ayah dan mama selalu mengiringi kakak. Alhamdulillah untuk nikmat ini ya Allah. Ayah mama bangga dengan kakak,” katanya.
Poey hadir meraikan Putri Amyshakila di Istiadat Konvokesyen ke-10 Kolej Antarabangsa Inovatif (IUC).
Anaknya turut memakaikan jubah konvo dan mortar board kepada bapa tersayang.
Dia dan isteri, Amyza Hamzah turut memberikan ciuman kepada puteri mereka sehingga membuatkan gadis itu gagal menahan sebak hingga menitiskan air mata.
“Anugerah dekan ini khas buat mama dan ayah, pensyarah yang sudah mendidik saya dan kawan-kawan serta yang memberi sokongan selama ini. Terima kasih @innovative.my,” kongsinya.
Putri Amyshakila juga mengenang kembali pengorbanan ibu bapanya sehingga meraih segulung diploma.
“Saya menahan sebak sunting video ni. Teringat segala pengorbanan dan kesusahan yang kita berdua lalui. Terima kasih ayah sanggup berhujan panas semata-mata untuk menghantar kakak pergi menimba ilmu.
“Dalam keadaan menahan lapar dan berteduh ketika hujan lebat. Pengorbanan ayah tidak mampu kakak balas. Kalau ia berkaitan nyawa pun, kakak sanggup demi ayahku tercinta.
“Hadiah teristimewa untuk kedua mereka, penghargaan ini juga untuk mereka yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat kepada saya. Terima kasih yang mendoakan. Semoga Allah membalas kebaikan kalian berlipat kali ganda, Insya Allah, amin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




