Puting beliung sambut England

Puting beliung sambut England

Kansas City: Persiapan England menjelang aksi pertama Piala Dunia berdepan Croatia menerima gangguan apabila bandar Kansas City yang menjadi kem latihan mereka dilanda amaran puting beliung hanya beberapa jam selepas ketibaan skuad itu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya segera mendapatkan perlindungan susulan ancaman ribut petir kuat yang berpotensi menghasilkan angin sehingga 129 kilometer sejam.

Siren kecemasan turut dibunyikan di beberapa kawasan sekitar bandar itu pada petang Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga.

Penduduk diminta berlindung di dalam bangunan kukuh dan menjauhi tingkap kerana serpihan yang diterbangkan angin boleh mengancam nyawa.

Menurut laporan media Britain, pemain England turut diarahkan berada di dalam bangunan bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang tempoh amaran cuaca berkenaan.

Malah, festival penyokong yang berlangsung di bandar itu ditutup lebih awal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sebelum amaran dikeluarkan, skuad kendalian Thomas Tuchel sempat menjalani sesi latihan bersama komuniti setempat.

England sebelum ini turut berdepan masalah apabila sebahagian peralatan latihan pasukan dilaporkan dicuri sebelum mereka tiba di Kansas City.

Juara dunia 1966 itu dijadual memulakan kempen Kumpulan L menentang Croatia di Arlington pada Khamis ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top