Putus cinta beri ilham karya baharu – Aisya Retno

Putus cinta beri ilham karya baharu – Aisya Retno

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Aisya Retno mengakui pengalaman putus cinta yang berlaku baru-baru ini memberi tamparan hebat buat kehidupannya. 

Pengalaman pahit itu sekaligus menjadi inspirasi dan dijadikan idea untuk lagu dalam album sulungnya akan datang. 

“Biasalah, orang datang dan pergi. Tapi, itu inspirasi terbaik untuk saya tulis lagu. 

“Saya rasa, saya ingin tumpukan kepada karier saya sekarang. Bagi saya, putus cinta itu biasalah. 

“Setakat ini, saya rasa agak susah untuk mencari seseorang yang memahami dan tahu kerja kita sebagai seorang anak seni. 

“Saya tak salahkan pihak sana atau apa, tapi yang saya teruja adalah kerana ia memberi pengalaman untuk saya tulis lagu,” katanya kepada Harian Metro. 

Aisya, 25, atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, impaknya sangat besar dan membuatkannya serik untuk kembali bercinta. 

“Dengarlah album saya dahulu nanti, baru tahu. Mungkin orang anggap ini jenaka, tetapi ketika saya tulis lagu itu pun, saya sambil menitiskan air mata. 

“Kalau sampai masuk dalam album, ertinya ini paling terkesan. Saya fikir, saya menangis akibat kes pembatalan konsert itu sahaja. Tak sangka ini pun menyebabkan saya menitiskan air mata juga. 

“Saya masih percayakan cinta, tetapi ia sangat subjektif. Sekarang, saya sejujurnya serik bercinta. Saya nak bercinta dengan karier dahulu. Tengoklah siapa yang datang, datang,” katanya. 

Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idamannya, Aisya selesa dengan lelaki pencinta kucing yang berbakat. 

“Ciri-ciri lelaki idaman saya, lelaki yang sukakan kucing, hormat kepada keluarga, hormat kepada masa saya sebagai anak seni dan pada masa sama, berbakat juga. 

“Tak kisahlah berbakat dalam bercakap, menyanyi, atau berlakon,” katanya. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top