PERSEKUTUAN Wushu Malaysia (PWM) membuat keputusan drastik memutuskan segala bentuk kerjasama dengan Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik (BPS) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkuat kuasa serta-merta.
Presiden PWM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, keputusan tersebut menyaksikan PWM tidak akan menyertai apa jua kejohanan dikelolakan Seksyen Sukan BPS KPT termasuk temasya seperti Sukan Universiti Dunia (Universiade) dan Sukan Universiti ASEAN selepas ini.
Beliau mendakwa antara isu membuatkan PWM ‘hilang sabar’ sejak mula bekerjasama pada 2012 ialah apabila Seksyen Sukan BPS KPT tidak mengutus surat permohonan kepada badan induk itu untuk menyenarai atlet wushu negara, selain tidak menyatakan penghargaan kepada mereka sekiranya atlet pulang dengan kejayaan membanggakan pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan disertai.
“Walaupun atlet wushu sering memenangi pingat dalam temasya pelbagai sukan yang dikelolakan oleh Seksyen Sukan BPS KPT termasuk kejayaan memenangi sebutir pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan dalam Universiade sejak 1985, mereka tidak mengutus sebarang surat penghargaan kepada PWM.



