RADIUM Development Berhad (Radium) menjalin kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan kehidupan warga emas dan penjagaan berbantu terkemuka dari Jepun, Tokyu E-Life Design Inc. (TELD) sebagai persediaan memenuhi keperluan penduduk Malaysia yang semakin menua.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya meneroka penyelesaian kehidupan golongan tersebut serta memperkukuh keupayaan syarikat dalam sektor yang sedang berkembang.
“Profil demografi Malaysia sedang berubah, sekali gus membawa jangkaan baharu terhadap cara komuniti direka bentuk dan bagaimana masyarakat menjalani kehidupan apabila usia meningkat.
“Sebagai pemaju, kami percaya amat penting untuk memahami perubahan ini dan secara proaktif meneroka penyelesaian yang boleh menyumbang kepada komuniti lebih sihat, inklusif serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau memaklumkan, Radium akan memperoleh pendedahan kepada model operasi bertaraf antarabangsa, amalan terbaik dalam aspek penyampaian penjagaan, pengurusan fasiliti, jualan dan pemasaran, kewangan, sumber manusia serta rangka kerja kawal selia.
Dalam tempoh sembilan bulan akan datang, Gary menjelaskan, pasukannya akan mengikuti latihan berstruktur dan pendedahan operasi di Jepun selain bekerjasama rapat dengan TELD bagi mengkaji model kehidupan warga emas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Program tersebut juga katanya, dijangka melengkapkan syarikat itu dengan pengetahuan praktikal dan kepakaran bagi menilai amalan terbaik antarabangsa serta meneroka konsep kehidupan mesra warga emas untuk disesuaikan dengan keperluan Malaysia.
“Malaysia secara rasmi menjadi sebuah masyarakat menua pada 2021 apabila individu berusia 65 tahun ke atas mewakili sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada jumlah penduduk, manakala dijangka menjadi negara tua menjelang 2048 apabila peratusan golongan tersebut meningkat kepada 14 peratus.
“Perubahan demografi itu meningkatkan keperluan terhadap pendekatan inovatif dalam aspek perumahan dan penjagaan warga emas, selain usaha memperkukuh sistem sokongan, perlindungan undang-undang serta perkhidmatan bagi memenuhi keperluan mereka.
“Kerjasama itu juga turut mengambil kira potensi ‘silver economy’ yang semakin berkembang apabila perubahan demografi membentuk semula permintaan terhadap perumahan mesra warga emas, kesejahteraan dan penyelesaian penjagaan,” ujarnya.



