Rafizi gesa kerajaan perjelas status bayaran zakat pendeposit TH bagi tempoh 2016-2019

Rafizi gesa kerajaan perjelas status bayaran zakat pendeposit TH bagi tempoh 2016-2019

SHAH ALAM –  Kerajaan digesa menjelaskan tindakan yang diambil bagi menangani isu status pembayaran zakat pendeposit Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2016 hingga 2019, susulan penemuan yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, isu berkenaan mendapat perhatian dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Daripada banyak perkara yang disentuh di dalam laporan RCI itu, berdasarkan reaksi orang ramai terutamanya yang beragama Islam, salah satu perkara yang menimbulkan kemarahan ialah penemuan Suruhanjaya Diraja mengenai status bayaran zakat bagi pihak pendeposit.

“Oleh itu, saya menyeru tindakan daripada pihak yang berkenaan. Adakah Kerajaan Madani, setelah mengambil alih telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit bagi tempoh 2016 hingga 2019 itu?” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rafizi turut menggesa institusi berkaitan hal ehwal Islam, termasuk Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan para mufti, tampil memberikan panduan kepada pendeposit serta menasihati kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (LTH) bagi menyelesaikan isu itu dengan segera.

“LTH juga perlu mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan apa yang telah dibuat untuk melepaskan pendeposit-pendeposit dari tanggungjawab Islam membayar zakat, tatkala mereka ingat zakat-zakat itu telah dibayar oleh LTH,” ujarnya.

Mengulas dapatan RCI, Rafizi berkata, laporan itu antara lain menyatakan akad deposit atau kontrak syariah telah ditukar dari Mudarabah kepada Wadi’ah Yad Dhamanah, iaitu deposit dikira sebagai simpanan pada 2016.

Katanya, perubahan itu dibuat selepas TH didapati menggunakan sebahagian keuntungan pelaburan bagi membiayai subsidi di bawah akad Mudarabah.

“Kesan daripada pertukaran akad Wadi’ah Yad Dhamanah telah mengubah hubungan yang boleh menyebabkan pendeposit terdedah kepada tanggungan zakat ke atas deposit yang diserahkan kepada LTH.

“Perkara ini dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam suratnya bertarikh 26 Jun 2019 kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad. BNM menyatakan bahawa penzahiran berkenaan zakat kepada pendeposit mungkin tidak sama sebagai kontrak di bawah Wadi’ah Yad Dhamanah,” katanya.

Beliau berkata, di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah, LTH telah menjadi peminjam kepada deposit yang disimpan.

Justeru katanya, bayaran zakat oleh LTH pada masa itu hanya mewakili perniagaan sebagai sebuah institusi, manakala pendeposit sepatutnya perlu membayar zakat simpanan iaitu 2.5 peratus daripada jumlah simpanan.

“LTH menukar kontrak syariah dari Wadi’ah Yad Dhamanah kepada Wakalah hanya dalam Disember 2019.

“Suruhanjaya Diraja berpendapat semasa LTH membayar zakat di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah iaitu dari 2016 hingga 2019, pembayaran zakat oleh LTH sebenarnya zakat yang kena dibayar oleh LTH dan bukan zakat yang perlu dibayar oleh pendeposit.

“Ia juga bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995, yang tidak membenarkan LTH meminjam dan tidak tertakluk kepada pembayaran zakat,” katanya.

Scroll to Top