Rafizi perlu perjelas dana ‘membeli’ Bersama berjumlah RM8.6 juta – AMK

Rafizi perlu perjelas dana ‘membeli’ Bersama berjumlah RM8.6 juta – AMK

KUALA LUMPUR Datuk Seri Rafizi Ramli wajar menjelaskan dana ‘membeli’ Parti Bersama Malaysia (Bersama) berjumlah RM8.6 juta, di sebalik dakwaan yang mengaitkannya dengan aliran dana asing dan tindakan pengkhianatan terhadap negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, jika benar wujud persoalan berkaitan dana itu yang dikaitkan dengan pengambilalihan atau pembelian parti Bersama, maka penjelasan sewajarnya diberikan bagi mengelakkan pelbagai persepsi dan fitnah terus berlegar dalam masyarakat.

“Namun saya tidak mahu mengulas lanjut tentang parti Bersama itu sendiri. Itu hak beliau sama ada mahu beli, sewa secara bulanan atau ambil alih secara percuma.

“Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Rafizi dalam podcast beliau, Presiden parti Bersama ialah Syukri Razab yang juga merupakan bekas pegawai beliau di kementerian.

“Maka soalan tersebut lebih wajar ditujukan kepada Presiden parti Bersama sendiri untuk diberikan penjelasan secara langsung,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah menyiarkan semula video yang dimuat naik oleh pengguna MayaAlesya yang mendakwa Rafizi telah “membeli” Bersama dengan harga RM8.6 juta.

Dalam video tersebut, MayaAlesya telah mempersoalkan sumber dana Rafizi sambil turut menuduh bekas menteri ekonomi itu menyimpan niat jahat terhadap PKR.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dakwaan dana asing serius kerana melibatkan isu campur tangan pihak luar dalam kancah politik tempatan dan memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

Rafizi juga sedang berdepan dengan siasatan SPRM berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion dengan melibatkan antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor. – UTUSAN

Scroll to Top