mohdsyazwan@hmetro.com.my
Sepang: Penjaga gol skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara Rahadiazli Rahalim mengambil pendekatan membisu dengan mengelak daripada memberikan sebarang kenyataan berhubung prestasinya pada perlawanan empat penjuru Piala Merlion 2023.
Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Singapura, sebentar tadi, Rahadiazli yang juga penjaga gol Terengganu enggan membuka mulut berkaitan perlawanan di negara jiran itu.
Situasi terbabit mungkin bagi mengelak daripada keadaan menjadi lebih buruk memandangkan dua kesilapannya pada pertemuan menentang Kemboja dan Hong Kong memberi jaringan kepada lawan.
Namun, mujur kecekalan rakan sepasukannya memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia 4-2 ketika bertemu Kemboja sebelum mengesahkan kejuaraan dengan menumbangkan Hong Kong 2-1 malam tadi.
Rakan sepasukannya Harith Haiqal Adam Afkar mempunyai pendapat berbeza apabila tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Rahadiazli menyebabkan gawang Malaysia dibolosi.
“Saya tidak banyak cakap kepadanya, cuma beritahu dia yang kami mendahului, kesilapan adalah perkara biasa dalam bola sepak.
“Dia jarang mendapat bola semasa perlawanan Hong Kong jadi saya hanya berkata kepadanya bahawa kita akan tamatkan permainan dengan baik, jangan risau tentang apa-apa kerana saya akan berada di sini untuk melindunginya,” katanya.
Mengikut rekod, Rahadiazli sudah membuat 28 penampilan untuk Terengganu dengan dia beraksi bersama skuad Harimau Malaya tahun lalu sekali gus membantu Malaysia menang 5-0 ke atas Laos dalam perlawanan Piala AFF.
© New Straits Times Press (M) Bhd