Kehilangan cinta, penolakan keluarga dan rahsia silam yang terbongkar menjadi nadi utama drama terbaharu TV3, Perempuan Tidak Ternikah, yang bakal menggegarkan emosi penonton bermula 17 Disember ini.
Disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot Akasia, drama ini mempertaruhkan lakonan penuh jiwa Elizad Sharifuddin sebagai Keisya, seorang wanita yang terpaksa menelan pahit getir kehidupan apabila maruah dan kebahagiaannya diragut satu demi satu.
Dibesarkan oleh neneknya selepas ibu bapanya berpisah, Keisya membina harapan baharu bersama tunangnya, Adli lakonan Ali Reza. Namun, hidupnya terus diuji apabila ayah kandungnya, Malik (Kaza), muncul dengan niat yang meruntuhkan jiwa, selain menuntut wang sebagai syarat untuk menandatangani surat pengakuan pernikahan selepas terbongkar rahsia bahawa Keisya adalah anak luar nikah.
Demi cinta, Keisya dan Adli nekad bernikah di Siam, namun kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila Keisya kehilangan dua insan tersayang serentak neneknya meninggal dunia akibat serangan jantung, manakala Adli maut dalam kemalangan jalan raya.
Lebih menyayat hati, Keisya yang sedang mengandung ditolak keluarga mentua, menyebabkan dirinya terjerumus dalam kemurungan dan hampir berputus asa untuk meneruskan hidup.
Nasib Keisya berubah apabila dia diselamatkan Rayyan lakonan Yusuf Bahrin, seorang lelaki yang membantunya bangkit dan memulakan hidup baharu di rumah kebajikan. Namun, luka lama dan trauma silam membuatkan Keisya menolak benih cinta yang hadir, memilih untuk melarikan diri daripada kebahagiaan yang ditawarkan.
Selain Elizad dan Yusuf Bahrin, drama ini turut dibintangi Shahz Jaszle, Raden Zaharatul, Sharifah Shahora, Gabriel Chung serta Ali Reza, yang menguatkan lagi konflik dan emosi penceritaan.
Perempuan Tidak Ternikah bukan sekadar mengangkat kisah cinta yang gagal, sebaliknya menyelami realiti pahit kehidupan wanita yang sering menjadi mangsa keadaan, penganiayaan serta keputusan orang lain, sekali gus menyentuh isu maruah dan trauma yang diwarisi.
Dengan penceritaan yang sarat emosi, konflik keluarga yang berat serta lakonan mantap barisan pelakon berpengalaman, drama ini dijangka meninggalkan kesan mendalam dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton.
Drama ini boleh disaksikan bermula 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal menerusi platform Tonton.




