Taktik pembungkusan cadar gagal, kastam rampas bunga ganja RM62.5 juta

Taktik pembungkusan cadar gagal, kastam rampas bunga ganja RM62.5 juta

am@hmetro.com.my

Nilai: Sindiket pengedaran dadah jenis ganja dikesan menyewa rumah teres dua tingkat di Seri Kembangan, Selangor, sebagai tempat pembungkusan sebelum diseludup ke negara lain.

Dalam serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 2 Disember lalu, sebanyak 638 kilogram (kg) bunga ganja dianggarkan bernilai RM62.5 juta dirampas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/ Pematuhan), Siti Mang berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar pada tahun ini membabitkan bunga ganja.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 3.50 petang, 2 Disember lalu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Seri Kembangan.

“Pasukan serbuan menemui 17 kotak parcel serta sejumlah bungkusan aluminium foil. Hasil pemeriksaan terhadap semua kotak dan bungkusan aluminium foil didapati mengandungi leraian tumbuhan berwarna hijau.

“Bahan ini disyaki dadah berbahaya jenis bunga ganja dengan anggaran berat kasar 638 kg dengan nilai dianggarkan RM62.5 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi, beliau berkata, rumah yang diserbu disyaki dijadikan tempat pembungkusan bunga ganja yang mana sindiket memasukkan bahan itu ke dalam kotak cadar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan keterangan pada bungkusan kotak, dagangan dinyatakan sebagai cadar mikrofiber. Semua bungkusan ini dipercayai dihantar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah berkenaan disewa sejak September lalu yang dijadikan sebagai markas membungkus bunga ganja yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Ketika serbuan dijalankan, tiada suspek berada di lokasi. Kami turut merampas mesin pembungkusan kedap udara dan sebuah motosikal,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Justeru, orang ramai digesa membantu pihak JKDM untuk memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top