DAP pilih pegawai penyelidik Exco calon DUN Seremban Jaya

DAP pilih pegawai penyelidik Exco calon DUN Seremban Jaya

SEREMBAN – Pegawai Penyelidik kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, S. Mugunthan, 40, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Majlis Pelancaran Jentera PH DUN Seremban Jaya di sini pada Jumaat.

Mugunthan yang juga bekas jurutera dipilih menggantikan penyandang, Datuk P. Gunasekaran yang telah mewakili kawasan itu sejak tahun 2008.

Anthony berkata, beliau yakin DAP mampu terus mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi parti itu sejak tahun 2008 ketika kawasan tersebut masih dikenali sebagai DUN Senawang.

“DUN ini kita menangi sejak tahun 2008, ketika itu namanya DUN Senawang.

“Selama empat penggal berturut-turut kita terus mendapat sokongan rakyat di DUN ini. Saya berharap DAP sekali lagi diberi mandat oleh rakyat dan PH terus membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan turut merakamkan penghargaan kepada Gunasekaran atas khidmat cemerlang yang diberikan kepada penduduk dan pengundi di DUN berkenaan sejak memenangi kerusi itu buat kali pertama.

Menurutnya, meskipun PH ketika itu berdepan kekangan kewangan, ia tidak pernah dijadikan alasan oleh Gunasekaran untuk terus berbakti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya boleh katakan Gunasekaran ialah ‘orang parti’ kerana pada PRN kali ini beliau berbesar hati memberi laluan kepada muka baharu selepas menang empat kali bertanding dalam tujuh pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Mugunthan mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan DAP atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili PH di DUN Seremban Jaya.

“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa rendah diri. Saya menyertai DAP pada tahun 2012 ketika masih lagi bekerja sebagai jurutera.

“Saya masih ingat waktu itu saya menghantar mesej kepada Anthony melalui Facebook untuk menyatakan hasrat menyertai DAP. Tidak sangka beliau sendiri membalas mesej itu dan mengajak saya bertemu di pejabat,” katanya.

 

Scroll to Top