Kebenaran solat Jumaat di Musolla IOI City Mall hanya sementara

Kebenaran solat Jumaat di Musolla IOI City Mall hanya sementara

SHAH ALAM: Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya hanya sementara dan akan ditamatkan sebaik masjid baharu berhampiran kompleks beli-belah itu siap dibina serta mampu menampung keperluan jemaah termasuk pekerja di premis berkenaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai respons yang timbul berhubung pelaksanaan solat Jumaat di musolla tersebut susulan kenyataan media dikeluarkan pada rabu lalu.

Beliau berkata, kebenaran mendirikan solat Jumaat di musolla itu diberikan bermula 6 September 2024 menerusi keputusan MAIS melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk jumlah kakitangan, pekerja dan pengunjung lelaki beragama Islam yang ramai di kompleks beli-belah itu.

“Musolla IOI City Mall terletak dalam kompleks beli-belah berkenaan yang berada di daerah Sepang serta di bawah pengawasan dan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang.

“Melalui pemeriksaan dan penelitian di lokasi ketika itu, didapati premis tersebut mempunyai ramai kakitangan dan pekerja lelaki beragama Islam di samping menerima pengunjung termasuk dalam kalangan lelaki beragama Islam.

“Mereka berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh daripada premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata, dua masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda dan Masjid UNITEN yang terletak kira-kira 7.6 kilometer dan 7.7 kilometer dari pusat beli-belah berkenaan.

“Kedua-dua masjid itu tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai ketika solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di negeri itu dilaksanakan secara teratur.

Katanya, pelaksanaan tersebut juga perlu mematuhi kehendak hukum syarak dan selaras dengan peruntukan undang-undang bagi menjaga kemaslahatan umat Islam di Selangor. – UTUSAN 

Scroll to Top