Rain jadi tetamu jemputan AIFFA 2023

Rain jadi tetamu jemputan AIFFA 2023

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal Korea Selatan, Rain akan menjadi artis jemputan utama Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 di Kuching, Sarawak pada 2 hingga 4 Ogos ini.

Penghibur berusia 41 tahun itu dipilih kerana beliau adalah ikon fenomena K-Pop serta bintang filem cukup disegani baik di negaranya mahu pun di peringkat global.

“Selepas penilaian teliti, keputusan pengurusan AIFFA menjemput Rain sebagai tetamu khas berdasarkan bakat fenomenanya dalam industri kreatif dan seni saya persembahan.

“Bakat luar biasanya merangkumi bidang muzik dan filem selaku penyanyi, penulis lagu, pelakon, serta penerbit muzik. Beliau sudah terbabit banyak filem di Korea Selatan dan Hollywood,” menurut kenyataan rasmi AIFFA di sini.

Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon bakal mengadakan sesi bertemu peminat pada 4 Ogos ini pukyu  3.30 petang, bertempat di Old Courthouse Gardens, Kuching selain bakal hadir ke malam gala AIFFA.

Pengumuman kehadiran Rain itu dibuat Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Amzah.

Sebelum ini beberapa pelakon terkenal antarabangsa seperti Steven Seagal, Jackie Chan, Donnie Yen, Tan Sri Michelle Yeoh, dan Henry Golding antara yang pernah hadir memeriahkan festival anugerah terbabit.

AIFFA yang memasuki edisi keenam terus mendapat kepercayaan penggiat filem rantau ini walaupun kali terakhir diadakan pada 2019.

Sebanyak 121 filem Asean akan dipertandingkan untuk 12 kategori pada malam gala nanti.

Pelbagai aktiviti termasuk panel pakar dari luar negara terbabit bual bicara mengenai perniagaan filem, penulisan skrip, wanita dalam industri kreatif, dan lain-lain akan diadakan secara terbuka dan percuma.

Sementara itu, filem Sumpahan Jerunei merupakan filem pertama AIFFA sebagai filem yang memaparkan kandungan adat budaya kaum di Sarawak dan akan ditayangkan untuk perwakilan ASEAN pada Malam Pembukaan.

Filem keluaran Produksi Seni Dua puluh Dua Puluh Sdn. Bhd. milik Datuk Nancie Foo dan Datin Dr. Wendy Wong serta beberapa pelakon dan kru akan hadir pada malam tayangan perdana ini.

Mereka termasuk Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Nawip, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah, Ali Mohamad, Tommy Black, dan Uncle Sil.

Filem ini akan mula ditayangkan pada 27 Julai di pawagam GSC di seluruh Malaysia.

AIFFA yang diluluskan oleh Sekretariat ASEAN sebagai salah satu aktiviti bersama untuk kumpulan serantau akan diadakan di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 2 Ogos ini dan dinilai oleh juri antarabangsa serta ASEAN.

Ia menawarkan anugerah dalam 17 kategori meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal pembikinan filem. – MalaysiaGazette