KUALA LUMPUR – Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang pada Mei lalu berjaya menarik kira-kira 415,000 pengunjung dan menjana RM392.33 juta kepada ekonomi negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, anggaran impak ekonomi itu dibuat berdasarkan data dan metodologi yang diguna pakai oleh Tourism Malaysia menerusi Departing Visitors Survey (DVS) serta data sokongan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, penganjuran pesta air itu turut melibatkan enam lokasi lain iaitu Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Labuan dan Langkawi, dengan kos penganjuran sebanyak RM15 juta.
“Berdasarkan maklum balas daripada Persatuan Pelancongan BBKLCC, program ini membawa keuntungan kepada pusat beli-belah seperti Lot 10 yang merekodkan peningkatan 40 peratus pengunjung dan 45 peratus jualan, serta Sungei Wang Plaza yang mencatatkan pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus berserta lonjakan jualan.
“Segmen makanan dan minuman (F&B) di Pavilion Hotel juga merekodkan peningkatan pelanggan walk-in dan purata jualan meningkat sebanyak 11 peratus.
“Sokongan ini bukan sekadar penajaan, malah mencerminkan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap potensi industri pelancongan negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai bagaimana penganjuran festival di bawah Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) itu menyumbang kepada pengukuhan pelancongan berasaskan acara, meningkatkan daya tarikan Malaysia serta mengekalkan keseimbangan antara elemen antarabangsa dan penghayatan budaya tempatan.
Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sebelum ini berdepan pelbagai kontroversi termasuk desakan supaya ia dibatalkan kerana dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan tidak selari dengan budaya rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, kementeriannya juga akan memastikan keseimbangan antara elemen antarabangsa dan identiti tempatan terus dipelihara dalam penganjuran acara sedemikian.
Menurutnya, meskipun menampilkan hiburan moden bertaraf antarabangsa, festival tersebut turut mengetengahkan persembahan muzik, permainan tradisional, makanan warisan dan penglibatan penggiat seni tempatan.
Beliau menambah, melihat kepada sambutan yang amat baik serta impak ekonomi yang ketara, kementeriannya turut menerima maklum balas positif daripada pemain industri dan peniaga tempatan agar festival itu diteruskan sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa.
“Kesimpulannya, Rain Rave Water Music Festival 2026 merupakan platform strategik yang memperkukuh pelancongan berasaskan acara dan meningkatkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.



