Raja Muda Perlis dilantik semula Canselor UniMAP

Raja Muda Perlis dilantik semula Canselor UniMAP

ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilantik semula sebagai Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berkuasa berkuat kuasa dari 13 Disember lalu hingga 12 Disember 2028.

UniMAP dalam kenyataan hari ini memaklumkan perisytiharan itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 20 Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, watikah dipersembah kepada baginda oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Raja Datuk Azwane Raja Ariff dan Naib Canselor UniMAP Profesor Ts Dr Zaliman Sauli bagi mewakili Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Bilik Canselor, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra hari ini.

Untuk rekod, Tuanku Syed Faizuddin dilantik sebagai Canselor Pertama Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 1 September 2003, sebelum universiti itu dijenamakan semula sebagai UniMAP, sehinggalah ke pelantikan hari ini. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd