am@hmetro.com.my
Georgetown: Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir A Rajendran mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar baharu hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pelantikan Rajendran itu menggantikan Mantan Datuk Bandar, Datuk Yew Tung Seang yang bersara wajib pada 5 Mei lalu.
Beliau berharap Rajendran dapat meneruskan kecemerlangan dengan corak dan pentadbiran berbeza namun objektif yang sama iaitu membawa Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa seiring Aspirasi Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
“Semoga gandingan baharu antara Datuk Bandar, Ahli Majlis serta warga MBPP dapat memantapkan pengurusan dan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan majlis secara keseluruhannya.
“Dengan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki Rajendran, saya yakin beliau dapat menerajui MBPP serta kekal sebagai organisasi mesra dengan semua pemegang taruh, menambah baik mutu penyampaian termasuk menaiktaraf infrastruktur dan mobiliti.
“Kesempatan ini saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tung Seang atas perkhidmatan cemerlang, dedikasi serta komitmen yang diberi sepanjang tempoh beliau bersama MBPP, ” katanya ketika berucap, hari ini.
Terdahulu Kon Yeow ditemui ketika Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar yang ke-4 itu di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama, di sini dan hadir sama menyaksikan pelantikan ialah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II Prof P Ramasamy serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Sayuthi Bakar.
Sementara itu Rajendran berkata, fokusnya adalah bagi menjadikan bandaraya berkenaan sebagai progresif, berdaya tahan dan bahagia (happy city) selaras dengan ilham Ketua Menteri dalam Visi Penang 2030.
Menurutnya, isu semasa seperti kebersihan dan lalu lintas yang kebanyakannya dihadapi di bandar besar di Malaysia juga perlu ditangani secepat mungkin kerana Pulau Pinang menerima pelancong yang tinggi pada masa tertentu.
“Kita akan wujudkan lebih banyak laluan pejalan kaki dengan reka bentuk sejagat serta berharap lebih ramai orang berjalan kaki kerana keadaan kesesakan di pusat bandar yang serius.
“Laluan pejalan kaki itu akan disedia dengan mesra dan bersambung dan diharap menerusi galakan ini, kita akan pasang bumbung di laluan berkenaan selain menanam lebih banyak pokok di kawasan pusat bandar.
“Lebarkan jalan sahaja tidak menyelesaikan masalah tetapi perlu interaksi serta dapatkan kerjasama dan sokongan rakyat sebelum sesuatu kerja dijalankan,” katanya lagi.
Rajendran, 60, yang berkhidmat selama 37 tahun dengan menyertai Jabatan Kejuruteraan MBPP bermula 1986 pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kejuruteraan sebelum dilantik sebagai Setiausaha MBPP pada Januari tahun lalu.
GEORGETOWN 09 MEI 2023. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri) bersalaman dan mengucap tahniah kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang baharu Datuk Ir. A Rajendran (dua dari kanan) pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar MBPP 2023 di Dewan Bandaraya di sini hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
From: Nini
© New Straits Times Press (M) Bhd




