Putrajaya: Inisiatif Rakan KKM bukanlah satu bentuk penswastaan, sebaliknya merupakan usaha transformasi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperbaiki akses terhadap prosedur perubatan elektif di kemudahan kesihatan awam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya dapat memanfaatkan kepakaran sedia ada serta kapasiti dalam kemudahan kesihatan awam untuk menawarkan pilihan kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan elektif dengan lebih cepat melalui inisiatif ini.
“Inisiatif ini bukan untuk kes kecemasan. Bagi kes kecemasan, semua pesakit dilayan sama rata, sama ada anda golongan B40, M40 atau T20. Tiada keutamaan diberikan.
“Namun untuk prosedur elektif, pesakit kini mempunyai pilihan. Mereka boleh menunggu enam atau tujuh bulan mengikut giliran biasa atau memilih akses lebih pantas melalui Rakan KKM atau mendapatkan rawatan di kemudahan swasta,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan IHH Healthcare Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program ini tidak melibatkan sebarang pembiayaan daripada sektor swasta, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang yakin terhadap keupayaan sistem kesihatan awam.
Dzulkefly berkata, inisiatif Rakan KKM berpotensi menjana pendapatan tambahan yang akan disalurkan semula kepada kemudahan kesihatan awam, seterusnya memberi manfaat langsung kepada sistem kesihatan negara.
“Hasil pendapatan ini juga bertujuan mempertingkatkan insentif kepada pakar perubatan, penolong pegawai perubatan dan petugas kesihatan lain kerana antara matlamat kita adalah untuk mengekalkan kepakaran sedia ada,” katanya.
Rakan KKM merupakan kerjasama seluruh kerajaan untuk menambah baik hospital dan klinik KKM demi manfaat semua rakyat Malaysia. Ia bertujuan meningkatkan kadar pengekalan tenaga kerja kesihatan demi manfaat pesakit, memperkukuh akses kepada golongan B40 menerusi pelaburan tambahan dalam sistem kesihatan awam serta menyediakan lebih banyak pilihan bernilai untuk golongan M40 selari dengan peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Program ini menawarkan perkhidmatan “premium ekonomi” di hospital awam terpilih bagi rawatan elektif pesakit luar, harian dan dalam wad – termasuk penjagaan peribadi, pilihan pakar dan privasi yang dipertingkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd