Bintang tenis AS, Emma mewarisi kekayaan bernilai RM18 bilion

Bintang tenis AS, Emma mewarisi kekayaan bernilai RM18 bilion

London: Pemain tenis Amerika Syarikat, Emma Navarro, yang mewarisi kekayaan bernilai £3 bilion (RM18 bilion), bakal berdepan pemain remaja sensasi Rusia, Mirra Andreeva, di gelanggang utama Wimbledon 2025.

Pemain berusia 24 tahun itu dijangka menjadi lebih kaya berbanding gabungan kekayaan Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic hasil kekayaan bapanya, Ben Navarro, seorang jutawan pelaburan.

Emma adalah pilihan ke-10 dalam acara perseorangan wanita dan akan menentang Mirra, pilihan ketujuh, dalam perlawanan pusingan keempat bagi merebut tempat ke suku akhir.

Berikut beberapa fakta penting mengenai Emma menjelang pertembungan pentingnya di Wimbledon 2025.

Emma ialah pemain tenis Amerika yang dilahirkan di New York City dan kini menetap di Charleston, South Carolina, di bawah bimbingan jurulatih Peter Ayers.

Setakat ini, jumlah hadiah wang kemenangan yang dimenanginya dalam Jelajah WTA ialah AS$4,637,393 (RM21.9 juta) dan dia sudahpun memenangi dua kejuaraan iaitu Hobart International 2024 di Australia dan Terbuka Merida 2025 di Mexico.

Emma melakar pencapaian terbaik dalam kejohanan Grand Slam tahun lalu apabila mara ke separuh akhir Terbuka AS.

Ia adalah penampilan ketiganya dalam undian utama Wimbledon. Debutnya hadir pada edisi 2023, namun dia tersingkir di pusingan pertama kepada Magdalena Frech.

Pada penampilan keduanya di Wimbledon Emma mara ke suku akhir sebagai pilihan ke-19 selepas mencatat beberapa kemenangan mengejut, termasuk menewaskan Coco Gauff di pusingan keempat, sebelum akhirnya tewas kepada naib juara Jasmine Paolini.

Emma bermain menggunakan tangan kanan dengan pukulan kilas dua tangan. Dia mencatat 225 kemenangan dalam perlawanan perseorangan Jelajah WTA dan 129 kekalahan.

Kenapa Emma Navarro Sangat Kaya?

Jawapannya terletak pada keluarganya. Dia ialah anak kepada jutawan pelaburan Ben Navarro, pengasas dan pemilik Sherman Financial Group yang memiliki pelbagai aset termasuk Credit One Bank.

Bintang Wimbledon itu juga adalah cucu kepada mendiang Frank Navarro, bekas pemain dan jurulatih bola sepak Amerika dalam liga Ivy League yang pernah menjadi ketua jurulatih di Williams College, Columbia University, Wabash College dan Princeton University.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top